
Sumber berkata, pegawai kanan berusia 48 tahun itu ditahan pada 8.35 malam Selasa, selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek menerima rasuah daripada sebuah syarikat berbentuk pengubahsuaian rumah dianggarkan berjumlah RM400,000 sebagai balasan memberi projek penjenamaan semula pejabat cawangan TH membabitkan kos RM15 juta.
Semalam, Ketua Pegawai Operasi TH, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani ditahan SPRM dan beliau dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk mendapatkan perintah reman hari ini.
Ahad lalu, SPRM menahan seorang pegawai kanan wanita TH bergelar Datin berusia 49 tahun yang kemudiannya direman 5 hari sehingga Jumaat ini.
Isnin lalu pula, seorang pengurus projek berusia 34 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes sama dan direman 3 hari sehingga esok.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan tangkapan semalam dan semua pegawai TH itu kini disiasat di bawah Akta SPRM 2009.
Pada 30 November lalu, TH membuat laporan polis berhubung kes salah guna kuasa oleh bekas pengerusi, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim bersama bekas ketua pegawai eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah, serta beberapa pegawai pengurusan kanannya.
Antaranya Adi Azuan, Ketua Pegawai Kewangan, Datuk Rozaida Omar, penasihat undang-undang, Hazlina Mohd Khalid dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Harta Tanah TH, Rifina Md Ariff.
Polis kemudiannya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 dan 409 Kanun Keseksaan.