Sultan Selangor ucap takziah kepada keluarga, waris Adib

Sultan Selangor ucap takziah kepada keluarga, waris Adib

Sultan Sharafuddin Idris Shah percaya pengorbanan Muhammad Adib adalah suatu yang amat mulia di sisi agama, bangsa dan negara.

Jenazah Muhammad Adib disembahyangkan di masjid di Kampung Tebengau, Kuala Kedah.
SHAH ALAM:
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan takziah kepada keluarga dan waris anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia malam tadi susulan kecederaan yang dialami akibat diserang perusuh semasa insiden di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada 27 Nov lalu.

Baginda berkata pemergian Allahyarham amat dirasai oleh seluruh rakyat dan baginda percaya pengorbanan wira itu adalah suatu yang amat mulia di sisi agama, bangsa dan negara.

Katanya, baginda akan mengutus surat takziah kepada bapa Allahyarham di Kuala Kedah, Kedah.

“Beta dan Tengku Permaisuri Selangor berasa amat sedih dan dukacita apabila mendengar berita pulangnya ke rahmatullah anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang beta difahamkan Allahyarham diserang semasa menjalankan tugas memadamkan kebakaran dalam kejadian rusuhan di perkarangan Kuil Sri Maha Mariamman USJ, Subang Jaya, pada 27 Nov 2018.

“Beta ingin menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada waris dan ahli keluarga serta berharap mereka reda dan tabah menerima ketentuan ini,” kata baginda yang dimuat naik menerusi Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Muhammad Adib, 24, meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 9.41 malam.

Perlu dikenang sebagai wira

“Muhammad Adib perlu dikenang sebagai wira negara”.

Itu pandangan Kasim Md Isa, bapa saudara Muhammad Adib ketika ditemui di rumah ibu bapa Allahyarham di Kampung Tebengau Tepi Laut, Kuala Kedah, hari ini.

Kasim, 61, menjelaskan, anggota keluarga sangat kecewa dengan kejadian yang menimpa Muhammad Adib kerana dia dibelasah ketika menjalankan tugas untuk memadamkan kebakaran di Kuil Sri Maha Mariamman.

“Kami reda dengan pemergian Allahyarham yang kami anggap wira kami dan wira negara. Saya harap pihak polis menggiatkan lagi siasatan dan membawa pesalah ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman setimpal,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Berikutan kejadian yang menimpa anak kedua daripada empat beradik itu, majlis perkahwinannya yang dijadualkan berlangsung pada 22 Dis ini dibatalkan, kata Kasim.

“Dia sempat balik rumah bercuti 5 hari membuat persiapan kenduri sebelum kembali bertugas semula. Hari pertama balik bertugas, dia dibelasah… kami sedih dengan kejadian ini,” katanya.

Sementara itu, penduduk kampung dan saudara-mara memenuhi pekarangan rumah anggota keluarga anggota bomba itu sejak 7 pagi tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.