Kanak-kanak perempuan 4 tahun maut dalam kebakaran di Shah Alam

Kanak-kanak perempuan 4 tahun maut dalam kebakaran di Shah Alam

Mangsa, Daaniys Humayra Mohd Shafie, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Shah Alam.

Siasatan mendapati hanya mangsa dan adiknya berada di bilik berkenaan ketika kejadian dan kedua-duanya sedang tidur. (Gambar Facebook)
SHAH ALAM:
Seorang kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun maut manakala bapa dan adik lelakinya melecur dalam kebakaran di bilik tidur sebuah banglo 2 tingkat di Seksyen 12 di sini, malam tadi.

Mangsa, Daaniys Humayra Mohd Shafie meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Shah Alam sementara bapanya, Mohd Shafie Mohd Salih melecur di bahagian kepala, badan serta tangan, manakala adik lelaki mangsa, Eiman Haider Mohd Shafie 1 tahun, melecur di bahagian tangan, kaki serta sebahagian kepala.

Ibu mangsa, Yusmaliza Mohamad Yusoff, 31, bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15 Shah Alam, Timbalan Penguasa Bomba Azmel Kamarudin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran kira-kira pukul 9.17 malam tadi sebelum tiba di tempat kejadian 10 minit selepas itu.

“Ketika anggota kami tiba, bapa mangsa didapati berjaya keluar dari premis itu bersama kedua-dua anaknya dan semasa anggota EMRS (Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan) periksa mangsa (Daaniys Humayra) ketika itu masih ada nadi.

“Kesemua mangsa seterusnya dikejarkan ke Hospital Shah Alam oleh EMRS, namun kanak-kanak perempuan itu kemudian disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital berkenaan. Mangsa mengalami kecederaan hampir serupa dengan adik lelakinya,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Menurut Azmel, kebakaran berjaya dikawal kira-kira jam 9.30 malam dan ia hanya melibatkan bilik tidur belakang di tingkat atas banglo berkenaan yang mempunyai 8 buah bilik.

Beliau berkata, siasatan pihaknya mendapati hanya mangsa dan adiknya berada di bilik berkenaan ketika kejadian dan ketika kebakaran berlaku kedua-duanya sedang tidur.

“Menurut ibu mangsa, bapa mangsa melecur teruk kerana bertindak meredah api 2 kali untuk selamatkan anak mereka. Ketika kejadian tidak pasti sama ada datuk mangsa ada di rumah, namun nenek mangsa dipercayai dibawa anggota keluarga lain pergi bercuti.

“Mangsa sekeluarga dipercayai datang ke banglo itu ‘on and off’ (kadang-kadang) kerana mereka menetap di tempat lain,” katanya, dan menambah punca kejadian masih disiasat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.