Selesai pertikaian sempadan perairan Malaysia-Singapura cara rundingan, kata Muhyiddin

Selesai pertikaian sempadan perairan Malaysia-Singapura cara rundingan, kata Muhyiddin

Langkah perundingan penting bagi mengelak persaingan tidak perlu antara kedua-dua negara.

Muhyiddin berkata, Kabinet telah membincangkan isu berkenaan secara serius baru-baru ini. (Gambar Bernama)
KULAI:
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau berharap isu tuntutan ruang udara dan sempadan perairan Malaysia dan Singapura diselesaikan menerusi meja rundingan.

Semasa ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen PPBM Johor di sini hari ini, Muhyiddin berkata, langkah berkenaan penting bagi mengelak sebarang persaingan yang tidak perlu antara kedua-dua negara.

“Saya maklum apa yang dinyatakan oleh menteri Singapura beberapa hari lepas bahawa mereka (Singapura) ingin menyelesaikannya secara baik, jadi itu adalah langkah yang baik. Kita tidak mahu mencetuskan persaingan yang tidak perlu yang menimbulkan rasa tidak puas hati,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika mengulas perkembangan terkini antara Singapura dan Malaysia yang timbul berikutan isu ruang udara dan sempadan perairan.

Beliau berkata, Kabinet telah membincangkan kedua-dua isu berkenaan secara serius baru-baru ini.

Bagaimanapun, Muhyiddin yakin menteri yang berkaitan akan melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan isu-isu tersebut seperti yang diarahkan oleh Kabinet.

“Hubungan Singapura-Malaysia selama ini baik.

“Biasalah (ada masalah), waktu saya menjadi menteri besar dahulu, kita ada masalah (juga) tetapi kedua-dua negara mahu bekerjasama,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.