AGM Perkasa: Kami tolak BN kerana isu sara hidup, bukan mahu kesamarataan

AGM Perkasa: Kami tolak BN kerana isu sara hidup, bukan mahu kesamarataan

Ibrahim Ali berkata rakyat tidak pernah menghendaki dasar nasional melibatkan kepentingan orang Melayu dan Islam diubah.

KUALA LUMPUR:
Gerakan hak pribumi, Perkasa hari ini mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan bahawa rakyat menolak kerajaan Barisan Nasional atas isu sara hidup, bukan dasar kesamarataan seperti yang dicanangkan.

Presiden Datuk Ibrahim Ali dalam ucapan kepada 1,327 anggota perwakilan di perhimpunan agung tahunan Perkasa hari ini berkata, mereka tidak pernah menghendaki dasar nasional melibatkan kepentingan orang Melayu dan Islam diubah.

Ibrahim berkata Bumiputera berdepan cabaran lebih kritikal dan mencemaskan kerana dasar keterbukaan kerajaan sekarang yang membawa slogan “Malaysia Baharu”.

“Sepatutnya, jika kerajaan atau pemimpin bermasalah, tukar sahajalah kerajaan atau pemimpin, bukannya mahu dirombak segala dasar nasional terutama yang melibatkan kepentingan orang Melayu dan Islam,” katanya.

Beliau berkata rakyat sudah menunaikan tanggungjawab menumbangkan ketua-ketua bermasalah, tetapi kerajaan sekarang tidak patut menjahanamkan dasar dan institusi yang sudah sebati dan diterima rakyat.

“Tetapi yang berlaku sekarang ini kelambu dibakar, menyebabkan nyamuk berkeliaran. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Rakyat mengharapkan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Siapa sangka?” katanya.

Beliau turut membidas isu-isu liberalisme, pluralisme dan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender” yang semakin menjadi-jadi hari ini.

Ibrahim berkata hak kebebasan dan hak asasi tidak boleh mengatasi hukum agama.

“Ini semua jika dibiarkan dan tidak ditangani pihak keselamatan, ia hanya membawa negara ini menuju ke jalan kehancuran, atau yang saya namakan ‘malapetaka bangsa’.

Dalam isu lain, Ibrahim Ali turut mempersoalkan Belanjawan 2019 yang menurutnya tiada lonjakan untuk agenda Bumiputera.

“Paling ketara, tiada pembelaan terhadap petani, pekebun getah dan nelayan. Harga getah, sawit merudum hingga terpaksa ikat perut.

“Kita di Perkasa melihat tiada lonjakan untuk agenda Bumiputera. Adakah kerana dasar kesamarataan atau dasar berasaskan keperluan menjadi punca?”

Sementara itu, Ibrahim Ali pada satu sidang media menggesa semua pihak menghormati kontrak sosial yang diterima oleh pengasas Malaysia, termasuk peruntukan-peruntukan berkaitan Islam dan Bumiputera.

Beliau berkata semua ketua komuniti, raja-raja Melayu dan British bersetuju memperuntukkan kedudukan tertentu kepada Islam, raja-raja Melayu, orang Melayu dan bahasa Melayu dalam pembentukan negara.

“Kalau nak tolak, jadi kontrak sosial itu terbatal. Jadi habislah kedudukan Islam dan kerakyatan. Adakah mereka perlu serah balik kerakyatan? Adakah mereka mahu? Kita pun tak setuju,” katanya.

Ibrahim seterusnya mengesyorkan kerajaan mewujudkan akta baharu bagi menangani cabaran dan penghinaan terhadap Islam, kedaulatan raja-raja Melayu dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Kita lihat perbuatan itu semakin menjadi-jadi selepas Akta Hasutan dimansuhkan. Cadangan ini perlu disegerakan sebelum keadaan menjadi semakin tidak terkawal.”

Beliau juga berkata masyarakat India sangat bernasib baik di era Malaysia Baharu kerana mempunyai 4 orang menteri walaupun dengan peratusan penduduk yang kecil.

Ibrahim Ali bagaimanapun membidas Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy atas kenyataan sebelum ini, menyifatkan ia tanda tidak berterima kasih.

“Semalam barulah Waytha buat kenyataan memuji profesionalisme polis. Beberapa hari lalu, kutuk polis. Tapi sekarang tak minta maaf,” katanya.

“Saya minta Dr Mahathir kaji balik kuota Kabinet orang India,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.