Waytha selar pemimpin pelampau India ‘tokok-tambah’ kontroversi kuil Seafield

Waytha selar pemimpin pelampau India ‘tokok-tambah’ kontroversi kuil Seafield

Menteri mengutuk sekerasnya tuduhan Arjun Sampath, dan akan menyampaikan bantahan kepada kerajaan India.

Waytha membidas Arjun Sampath, mengatakan adegan ‘tokok-tambah’ ahli politik itu sama sekali tidak boleh diterima.
PETALING JAYA:
P Waytha Moorthy menyelar seorang pemimpin pelampau India kerana membuat tuduhan tidak berasas terhadap Malaysia berhubung kontroversi kuil Seafield, selepas ahli politik itu mendakwa kuil tersebut dirobohkan manakala wanita dan kanak-kanak dibunuh secara ganas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata dia mengutuk sekeras-kerasnya tuduhan Arjun Sampath, yang mengetuai Parti Rakyat Hindu, sebuah parti pelampau Hindu, dan akan menyampaikan bantahan kepada kerajaan India dan Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia.

“Adalah jelas adegan ‘tokok-tambah’ seperti yang digambarkan oleh ahli politik tersebut benar-benar salah dan melanggar hal-hal negara lain yang berdaulat. Ini sama sekali tidak boleh diterima,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, FMT melaporkan kenyataannya dalam bahasa Inggeris. Beliau menggunakan ungkapan yang keras antaranya “fasis Islam”, “suka menumpahkan darah”, “xenofobia kejam”, “kekejaman”, “cuvanis Islam sempit”, dan “orang jahat”.

Arjun membuat tuduhan itu dalam suratnya kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Tamil Nadu 2 hari lalu.

Dalam kenyataan itu, Arjun menggesa kerajaan Malaysia menghukum dalang keganasan terhadap kuil itu. Beliau juga menggesa Perdana Menteri India, Narendra Modi mengecam Putrajaya kerana lambat bertindak balas ke atas isu itu.

Beliau juga merujuk kepada Zakir Naik, penceramah India yang kini menetap di Malaysia, dan berkata Islamisasi di Malaysia semakin cepat dan mengancam “komuniti selain orang Islam”.

Waytha, yang bertanggungjawab ke atas portfolio perpaduan dan integrasi nasional, menasihatkan orang ramai supaya mengabaikan dakwaan palsu Arjun itu.

Beliau juga berharap tiada pihak mengambil kesempatan daripada kenyataan Arjun untuk menghasut satu sama lain.

“Rakyat tahu bahawa kenyataan itu palsu mengenai kejadian yang berlaku,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.