IJN: Anggota bomba parah diserang perusuh tunjuk tanda sedar

IJN: Anggota bomba parah diserang perusuh tunjuk tanda sedar

Institut Jantung Negara dalam kenyataan hari ini berkata, Muhammad Adib Mohd Kassim masih di bawah pemantauan rapi penggunaan sedatif untuk membolehkan organnya pulih.

Ahli keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim melihat keadaannya di IJN, semalam. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang cedera parah dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, menunjukkan tanda sedar dan bertindak balas kepada beberapa arahan lisan, selepas dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) di sini.

Dalam perkembangan terkini mengenai keadaannya, IJN dalam kenyataan pada Khamis berkata, anggota bomba berusia 24 tahun itu masih di bawah pemantauan rapi penggunaan sedatif untuk membolehkan organnya pulih.

“Adib terus menunjukkan tanda-tanda beransur baik. Dia kurang bergantung kepada ubat untuk jantungnya, ‘setting’ oksigen untuk mesin ECMO telah dikurangkan, tetapi dia masih memerlukan bantuan penuh untuk buah pinggangnya berfungsi. Dia kini dalam keadaan ‘medically-induced comatose’.”

Ketika membuat rumusan mengenai keadaannya, IJN berkata, anggota bomba itu masih kritikal, tetapi stabil dengan tanda keadaannya beransur baik.

Ahli fisioterapi IJN memulakan kaedah sokongan fisioterapi pasif sebagai sebahagian daripada pemulihan kardiopulmonari Adib, pada Khamis.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata, Adib memang diserang dan bukan dilanggar jentera bomba yang sedang mengundur dalam insiden rusuhan di kuil tersebut pada awal pagi Selasa lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.