Pusat zakat WP hilang RM200 juta setahun akibat kutipan rentas sempadan

Pusat zakat WP hilang RM200 juta setahun akibat kutipan rentas sempadan

Kuala Lumpur sering menjadi tumpuan amil dan ejen zakat dari luar yang sanggup merentasi sempadan bagi memungut zakat di sini.

PPZ Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan kehilangan ratusan juta ringgit akibat kutipan rentas sempadan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kehilangan sehingga RM200 juta setahun daripada nilai kutipan zakat yang disasarkan akibat daripada kutipan zakat rentas sempadan.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata tindakan segelintir amil memungut zakat merentasi sempadan yang ditauliahkan menyebabkan kerugian ratusan juta ringgit kepada institusi zakat.

“Kes seperti ini jarang berlaku melibatkan amil di Wilayah Persekutuan tetapi Kuala Lumpur sering menjadi tumpuan amil dan ejen zakat dari luar yang sanggup merentasi sempadan bagi memungut zakat di sini.

“Ini antara lain disebabkan bilangan mereka yang berpotensi mengeluarkan zakat lebih besar di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berbanding di lain-lain negeri,” katanya ketika ditemui Bernama pada majlis Muzakarah Zakat Kebangsaan 2018, hari ini.

Muzakarah 2 hari anjuran bersama PPZ-MAIWP dengan Akademi Zakat dan Pembangunan Asnaf (Infad) Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) yang disertai 200 peserta dari pusat-pusat zakat negeri itu, antara lain bertujuan mengulas isu dan inovasi baharu berkaitan zakat dan pembangunan asnaf.

Beliau berkata tindakan itu menyalahi Enakmen Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997, di bawah Seksyen 33 yang menyebut mengenai larangan terhadap mana-mana pihak atau amil mengutip zakat tanpa kebenaran daripada MAIWP.

Ahmad berkata tindakan itu perlu segera dibendung agar asnaf atau penerima zakat yang layak tidak menerima kesan akibat kebocoran tersebut.

“Implikasi daripada tindakan itu memberi kesan cukup besar dari aspek agihan atau bantuan yang biasa diserahkan pejabat zakat, contohnya terpaksa mengurangkan nilai agihan wang zakat kepada penerima,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Muzakarah Prof Madya Dr Azman Ab Rahman berkata kutipan rentas sempadan merupakan antara isu diberi fokus dan disenaraikan sebagai antara intipati penting dalam satu daripada 17 resolusi yang dicapai melalui muzakarah tersebut.

Azman berkata amil dilantik perlu menggalas tugasan mengutip zakat berdasarkan lokalisasi atau hanya dalam kawasan negeri ditauliahkan sahaja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.