
Penganalisis dari Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam Asha Hemrajani, Singapura, Asha Hemrajani, berkata kerjasama dalam kalangan anggota Asean dan kuasa besar untuk menangani jenayah itu semakin baik, namun lebih banyak tindakan perlu dilaksanakan.
“Saya menjangkakan perbincangan lanjut adalah bagi mengenal pasti mangsa pemerdagangan dengan lebih pantas dan usaha penyelarasan SOP penghantaran pulang mangsa dan juga pelaku,” katanya kepada FMT.
Hemrajani berkata, perbincangan juga mungkin merangkumi perkongsian risikan mengenai operator scammer dan rangkaian ‘akaun keldai’, serta penyelarasan dengan pihak bank untuk membekukan aset terkait aktiviti berkenaan.
Pada Rabu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata rangkaian penipuan rentas sempadan akan menjadi topik utama pada sidang kemuncak itu berikutan kesan buruknya yang semakin meningkat terhadap kestabilan serantau dan kesihatan ekonomi.
Beliau berkata, pusat penipuan itu menjejaskan kestabilan dan kesihatan ekonomi serantau, yang menjadi kebimbangan dalam kalangan anggota Asean.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melabelkan Asia Tenggara sebagai ‘pusat tumpuan’ bagi rangkaian penipuan global. Menurut PBB, penipuan siber di rantau ini dianggarkan menjana pendapatan tahunan USD43.8 bilion.
Mangsa termasuk penduduk tempatan dari negara anggota Asean serta warga Amerika Syarikat (AS) dan China.
Hemrajani berkata, data Jabatan Perbendaharaan AS menunjukkan rakyatnya mengalami kerugian lebih USD10 bilion akibat penipuan berasal dari rantau ini, pada 2024.
Beliau berkata, China juga telah mempergiat tindakan terhadap jenayah berkenaan, dengan mahkamah China baru-baru ini menjatuhkan hukuman mati ke atas 11 ahli keluarga penjenayah yang mengendalikan pusat penipuan di Myanmar, selepas mereka ditahan dan diekstradisi, pada 2023.
Minggu lalu, AS dan United Kingdom (UK) mengenakan sekatan terhadap rangkaian jenayah mata wang kripto rentas sempadan berpangkalan di Asia Tenggara.
Presiden Korea Selatan Lee Jae-Myung juga dijangka membangkitkan kebimbangan sama pada Sidang Kemuncak Asean, susulan laporan mengenai rakyatnya yang menjadi mangsa operasi penipuan berpangkalan di Kemboja.
Hemrajani berkata, toleransi ditunjukkan oleh beberapa kerajaan terhadap kemudahan scam tersebut, terutamanya di Myanmar di mana kawalan berpusat lemah, melambatkan usaha menghapuskan masalah itu.
“Usaha menghapuskan ‘ladang scam’ ini adalah seperti permainan ‘whack-a-mole’. Walaupun satu pusat ditutup, yang lain pantas muncul di tempat berbeza,” katanya.
Beliau berkata, pihak pemerdagangan meluaskan perekrutan ke pasaran baharu dengan memancing pencari kerja melalui tawaran gaji tinggi, memetik percubaan baru-baru ini untuk merekrut rakyat Singapura.
Hemrajani berkata, usaha antiscam Asean mesti merangkumi tumpuan lebih kuat terhadap pengubahan wang, yang membantu mengekalkan rangkaian jenayahnya.
“Ada keluarga jenayah China di Myanmar mengendalikan kedua-dua operasi penipuan dan kasino untuk mencuci hasil pendapatan mereka. Jika kita mematahkan pengubahan wang dari awal melalui penyeliaan kawal selia lebih baik, insentif untuk scam berlaku akan berkurangan,” katanya.
Mesyuarat peringkat menteri Asean mengenai jenayah rentas sempadan baru-baru ini, menyokong tiga perisytiharan oleh pemimpin untuk diterima pakai pada sidang kemuncak itu, termasuk satu dicadangkan oleh Malaysia mengenai membanteras pengubahan wang. Satu kumpulan kerja baharu mengenai isu itu turut dicadangkan.
Walaupun kerjasama rentas sempadan amat penting, Hemrajani mengingatkan agar tidak terlalu bergantung kepada rakan kongsi luar.
“Anggota Asean perlu mengenakan sekatan yang lebih ketat dan menghalang penjenayah ini daripada memasuki atau mendapatkan kewarganegaraan di wilayah mereka,” katanya.
Memandangkan banyak pusat penipuan beroperasi di zon konflik Myanmar, beliau berkata Asean mungkin perlu menimbang semula dasar tidak campur tangan yang telah lama diamalkan bagi menangani krisis tersebut dengan lebih berkesan.