
Beliau berkata ini salah satu cara untuk blok itu melahirkan tenaga kerja yang “inklusif, bersedia untuk masa hadapan dan berpotensi menerajui industri pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) global.”
“Seorang pelajar dari Filipina boleh menjalani latihan di Malaysia, pelajar Indonesia di Vietnam, dan graduan dari Thailand di Singapura, menjadikan integrasi Asean suatu kenyataan melalui pergerakan kemahiran dan pengetahuan. Mungkin, dari perhimpunan ini, kita boleh menubuhkan satu gerakan serantau baharu — Pasukan Petugas Kemahiran Hijau dan Digital Asean,” katanya pada Persidangan TVET Asean.
Zahid, yang juga pengerusi Majlis TVET Kebangsaan, berkata pasukan petugas sebegini akan menyatukan Asean dengan “tindakan konkrit, sasaran yang boleh diukur dan sokongan bersama” bagi memupuk bakat yang diperlukan oleh rantau ini.
Persidangan dua hari itu, anjuran Human Resource Development Corporation dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran, bertujuan menyediakan platform dinamik untuk pertukaran pengetahuan, memupuk inovasi, dan membina perkongsian strategik dalam menyokong transformasi digital dan hijau Asean.
Ia juga salah satu platform utama Tahun Kemahiran Asean 2025, inisiatif di bawah kepengerusian Malaysia bagi mempercepatkan pembangunan kemahiran, menggalakkan mobiliti serantau, dan mempersiapkan tenaga kerja Asean untuk menghadapi perubahan ekonomi dan teknologi.
Zahid menggesa perbincangan mendalam mengenai isu ketidakpadanan kemahiran, peningkatan permintaan terhadap bakat digital dan hijau, serta pemacuan inovasi.
“Saya telah mengarahkan pegawai-pegawai saya untuk merekodkan maklumat penting ini kerana saya tidak akan membiarkan ini sekadar dialog semata-mata. Ia mesti mencetuskan dasar yang memenuhi keperluan pasaran, membuka peluang untuk semua, menjadikan majikan rakan kongsi sebenar dan mempercepatkan pembelajaran terkini,” katanya.
Pada Jun, Bernama melaporkan kemasukan pelajar ke institusi TVET meningkat kepada 436,285 tahun lalu, dengan 53.5% pemegang Sijil Pelajaran Malaysia memilih TVET.
Pembangunan industri EV Asean
Berucap pada persidangan itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, menyatakan OpenAI minggu lalu melancarkan sistem kecerdasan buatan (AI) GPT-5, yang katanya, boleh menyampaikan maklumat “lebih tinggi dan pantas daripada pakar PhD”.
“Ini mengesahkan andaian kami sejak beberapa tahun lalu. AI menggantikan kakitangan yang mempunyai latihan akademik konvensional,” katanya.
Sim berkata, AI boleh menulis kod, menghasilkan reka bentuk peringkat tinggi, menyelesaikan masalah matematik yang rumit, serta menjana ucapan dan kenyataan pakar yang lain.
Bagaimanapun, beliau berkata dunia masih memerlukan insan yang boleh membina, membaiki, mengendali, berkomunikasi, menyelia dan mengurus, maka Asean perlu mempunyai pendekatan yang lebih kolaboratif dalam menghadapi ekonomi abad ke-21.
Beliau berkata, kerjasama sebegini dapat dilihat dalam industri kenderaan elektrik, sebagai contoh.
“Kita harus memanfaatkan kecekapan teras kita untuk membangunkan industri EV Asean, daripada terlibat dalam persaingan yang merugikan,” katanya