
Beliau berkata, kerajaan tidak akan bertindak menghalang mereka sekiranya permohonan dibuat kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sebelum sebarang lawatan atau program dilaksanakan.
“Mereka akan sebut (dalam surat) nak buat agihan dan sebagainya, mereka tak boleh kempen politik, bawa bendera dan lain-lain.
“Sebelum ini zaman Barisan Nasional (BN) wakil rakyat pembangkang biasanya dilarang masuk, mereka tak dibenarkan. Zaman Malaysia Baharu kita benarkan cuma mengikuti prosedur dan ramai telah kemukakan permohonan dan kita luluskan,” katanya kepada media ketika ditemui di lobi Parlimen hari.
Terdahulu Maszlee memaklumkan bahawa Datuk Seri Ikmal Hisham Abd Aziz (BN-Tanah Merah) telah membuat permohonan untuk membuat lawatan ke sebuah sekolah di Kelantan.
Beliau berkata, selain Ikmal, PAS juga mengemukakan permohonan supaya wakil rakyat mereka dapat masuk ke sekolah, dan ia telah diberi lampu hijau oleh kerajaan.
“Hari ni Tanah Merah hantar permohonan dan saya akan luluskanlah sebab ini prosedur. Kita tak larang ahli politik, tapi ada pekeliling, iaitu mereka perlu menghantar permohonan.
“Jadi tak betul khabar angin disebarkan kata saya menghalang wakil rakyat pembangkang hadir ke sekolah. Kita harap ramai lagi wakil rakyat, lebih elok buat mcm PAS, dia kemukakan senarai dan kita beri keizinan kepada mereka,” katanya.
Sebelum ini Maszlee mendapat kritikan apabila dikatakan melarang Ahli Parlimen pembangkang untuk memasuki sekolah kerajaan. Perkara itu bagaimanapun dinafikan beliau.