Mufti gesa hentikan provokasi isu kuil Subang Jaya

Mufti gesa hentikan provokasi isu kuil Subang Jaya

Mufti Wilayah Persekutuan itu meminta semua pihak bertenang dan tidak melakukan provokasi di media sosial yang akan memburukkan lagi keadaan.

Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, rundingan damai antara pihak berkaitan perlu dimulakan segera untuk meredakan kekecohan berpunca daripada isu penempatan semula Kuil Sri Maha Mariamman.
KUALA LUMPUR:
Mufti Wilayah Persekutuan menyeru semua pihak menghentikan segala bentuk provokasi, khasnya di media sosial berkaitan kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya sejak awal pagi Isnin lepas, sehingga boleh mencetuskan ketegangan.

Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pihaknya mengikuti perkembangan kes itu dan simpati dengan mangsa dalam rusuhan berkenaan.

Beliau meminta semua pihak bertenang dan tidak melakukan tindakan yang boleh membawa kepada konflik lebih meruncing.

“Peringatan kepada mana-mana pihak untuk tidak mencurahkan minyak ke dalam api yang marak kerana ia bakal membawa kerosakan yang jauh lebih memudaratkan. Isu ini perlu ditangani dengan serius, tetapi amat berhati-hati.

“Kita sebagai rakyat Malaysia tidak sudi mempertaruhkan masa depan kita bersama, atas isu yang pada hakikatnya boleh diselesaikan dengan penuh muhibah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, keharmonian antara kaum yang dinikmati hasil daripada keutuhan pegangan Rukun Negara wajar dipertahankan.

“Sahabat-sahabat kami kaum India, Cina, Melayu dan lain-lain selaku rakyat Malaysia sudah pasti cukup matang dalam menilai insiden rusuhan kuil berkenaan yang langsung tidak membabitkan isu perkauman dan agama.”

Jelasnya, rundingan damai antara pihak berkaitan perlu dimulakan segera agar ketegangan dapat diselesaikan dengan baik.

Zulkifli pada masa sama turut mengucap tahniah kepada polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta kerajaan Selangor atas tindakan pantas menangani insiden ini.

Pihaknya juga mendoakan anggota bomba yang cedera parah dalam rusuhan berkenaan, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, bertambah baik dari semasa ke semasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.