Mahkamah arah petisyen pilihan raya Tasek Gelugor dibicarakan

Mahkamah arah petisyen pilihan raya Tasek Gelugor dibicarakan

Ketua Hakim Negara, Richard Malanjum berkata, terdapat merit dalam rayuan itu.

Marzuki Yahya meminta mahkamah mempertimbangkan pilihan raya kecil diadakan di kerusi Parlimen Tasek Gelugor dan pengiraan semula undi. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan hari ini mengarahkan perbicaraan bagi petisyen difailkan Datuk Marzuki Yahya yang kalah di kerusi Parlimen Tasek Gelugor dalam pilihan raya umum ke-14 dengan majoriti tipis, walaupun Mahkamah Pilihan Raya memutuskan untuk mengetepikan kes itu.

Dalam keputusan majoriti 4-1, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum berkata, terdapat merit dalam rayuan itu.

“Ia memenuhi syarat dalam peraturan petisyen pilihan raya dan perkara ini perlu dibicarakan.”

Tiga hakim lain menyokong keputusan majoriti itu adalah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Seri David Wong Dak Wah serta Datuk Rohana Yusuf.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop bagaimanapun membantah.

Marzuki kalah kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Shabudin Yahaya di Tasek Gelugor dengan majoriti 81 undi pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Beliau memfailkan petisyen pilihan raya untuk memohon pengiraan undi rosak sebanyak 689 undi dan 297 undi pos yang tidak dikembalikan.

Pada 18 September lalu, Hakim Mahkamah Khas Pilihan Raya, Datuk Hashim Hamzah menolak kes itu berdasarkan bantahan awal Shabudin dan mendapati petisyen itu tidak memasukkan “kesalahan” Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di kerusi Tasek Gelugor.

Hashim berkata, petisyen Marzuki sepatutnya ditulis berdasarkan garis panduan dalam Akta Pilihan Raya 1958.

Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Marzuki menggesa mahkamah mendengar hujah anak guamnya, tetapi peguam SPR, Marina Nasution memberi alasan kelemahan dalam petisyen itu untuk mahkamah menolak kes terbabit.

Hashim yang bersetuju dengan Marina, menolak kes itu dan mengarahkan Marzuki membayar kos RM10,000 kepada Shabudin.

Shabudin diwakili Simon Tan, manakala Marzuki diwakili Rafique serta Azlina Mehtab Mohd Ishaq.

Petisyen Marzuki difailkan pada 12 Jun lalu, dengan menamakan Shabudin sebagai responden pertama, pegawai pilihan raya Tasek Gelugor sebagai responden kedua dan SPR responden ketiga.

Marzuki meminta mahkamah mempertimbangkan pilihan raya kecil diadakan di kerusi Parlimen Tasek Gelugor dan mengira semula undi diperolehi calon BN itu yang kurang daripada majoriti 4% mengikut Peraturan-peraturan Pilihan raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981.

Marzuki dilantik sebagai timbalan menteri luar, selepas mengangkat sumpah sebagai sentor pada 17 Julai lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.