
Mengalu-alukan penyertaan anak jati Pulau Pinang itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Puad Zarkashi berkata kemasukan Dzulkifli ke dalam Umno melalui proses biasa, bukannya rundingan pihak atasan.
“Beliau berhubung terus dengan ketua cawangan dan ketua bahagian. Dia masuk dari bawah. Bukan jadikan Umno sebagai transit.
“Tidak ada permaidani merah. Tidak ada janji jawatan. Tidak ada gegak gempita,” katanya di Facebook.
“Tetapi sudah tentu Umno gembira dengan penyertaan beliau. Dia aset ‘check and balance’ Umno terutama dalam isu perundangan, rasuah dan ketelusan.”
Kelmarin, Dzulkifli menyertai Umno menerusi cawangan Merbau Kudong di bawah bahagian Tasek Gelugor.
Mengetuai badan antirasuah itu dari Ogos 2016 hingga Mei 2018, Dzulkifli berkata beliau hanya menjadi ahli biasa tanpa sebarang perjanjian dengan rakyat atau pimpinan Umno sendiri.
Katanya, beliau memilih Umno kerana pernah menjadi dominan suatu ketika dahulu selain berhasrat membawa ‘nafas baharu’ untuk parti orang Melayu itu.
Keputusan itu diambil selepas tiga tahun beliau berkhidmat untuk rakyat.