Anggota bomba diserang penunjuk perasaan semakin pulih

Anggota bomba diserang penunjuk perasaan semakin pulih

Menteri perumahan dan kerajaan tempatan berkata, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, sudah melepasi zon bahaya.

Zuraida Kamaruddin berkata, peluang hidup Muhammad Adib Mohd Kassim kini mencecah 70%.
PETALING JAYA:
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata keadaan anggota bomba dan penyelamat yang kritikal selepas diserang penunjuk perasaan dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, awal pagi semalam, kini bertambah baik.

Katanya, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, sudah melepasi zon bahaya dan semakin pulih daripada kecederaan parah.

“Alhamdulillah…Dr Izani memaklumkan Adib semakin pulih. Jika semalam hanya 40% peluang untuk hidup, sekarang 70%.

“Mereka masih meneruskan rawatan ke peringkat seterusnya,” katanya dalam catatan di Twitternya.

Media melaporkan Adib yang berada di tempat duduk depan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), ditarik keluar dan diserang penunjuk perasaan kira-kira 1 pagi Selasa lalu dalam rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman. Kenderaan itu turut dirosakkan kumpulan terbabit.

Semalam, Zuraida dilaporkan berkata, Adib yang cedera parah di bahagian dada, patah tulang rusuk dan mengalami jangkitan paru-paru, tidak sedarkan diri serta bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Beliau yang dirawat di unit rawatan rapi Pusat Perubatan Subang Jaya, kemudiannya dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN), malam tadi.

Kuil Sri Maha Mariamman sepatutnya dipindahkan pada 22 November lalu, susulan penyelesaian mahkamah membabitkan kerajaan Selangor, pemaju dan 2 penuntut terhadap pentadbiran kuil, K Chellapa dan M Nagaraju.

Bagaimanapun, sekumpulan penganut kuil Hindu itu bertegas mengekalkan kuil di lokasi sedia ada, walaupun selepas kuil itu bersetuju menerima penghakiman persetujuan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2014.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.