Kekecohan di kuil Seafield: Waytha minta rakyat bertenang

Kekecohan di kuil Seafield: Waytha minta rakyat bertenang

Menteri yang menjaga perpaduan dan kesejahteraan sosial itu berkata beliau akan memastikan kedaulatan undang-undang akan dipelihara.

P Waytha Moorthy menghubungi timbalan ketua polis negara untuk melakukan siasatan menyeluruh berhubung insiden itu.
PETALING JAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy meminta rakyat bertenang mengenai kekecohan yang tercetus awal pagi tadi berhubung isu penempatan semula Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya.

Menteri yang menjaga perpaduan dan kesejahteraan sosial itu berkata sehingga siasatan penuh dijalankan oleh polis, beliau berharap kedaulatan undang-undang akan dipelihara.

“Setelah menerima pelbagai penyiaran Facebook dan rakaman video mengenai rusuhan itu, yang kelihatan seperti dirancang dan tidak diprovokasi di kuil Sri Maha Mariamman, pagi ini. Saya telah menghubungi Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim mengenai perkara itu.

“Saya membangkitkan keprihatinan masyarakat terhadap rusuhan yang menjadi ancaman terhadap keamanan dan ketenteraman masyarakat pelbagai bangsa dan agama serta mengancam kebebasan agama.

“Terdapat beberapa orang mengalami kecederaan dan harta benda di dalam premis kuil turut dibakar. Ini menyebabkan ketegangan emosi di kalangan masyarakat. Terdapat juga pelbagai tuduhan yang tidak kukuh yang disebarkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga berkata Noor Rashid berjanji akan melakukan siasatan menyeluruh berhubung insiden itu.

Terdahulu dilaporkan satu kekecohan berlaku di kuil Sri Maha Mariamman, menyaksikan beberapa buah kenderaan dibakar berhampiran susur keluar USJ di Lebuhraya Elit.

Kuil berkenaan dijadualkan berpindah pada 22 Nov berikutan penyelesaian mahkamah melibatkan pemaju, One City Development Sdn Bhd, kerajaan negeri Selangor dan 2 penuntut terhadap pentadbiran kuil, K Chellapa dan M Nagaraju.

Bagaimanapun, satu kumpulan penganut berkeras mahu mengekalkan kuil tersebut di lokasi sedia ada, walaupun selepas bersetuju menerima penghakiman persetujuan mengenai penempatan semula pada 2014.

Pada 23 Nov, One City menafikan ia bersetuju menangguhkan penempatan semula kuil berkenaan kepada 29 Nov depan dengan berkata, tarikh akhir penghuni kuil perlu mengosongkan tanah kekal pada 22 Nov seperti tercatat dalam writ milikan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.