Pakaian tutup aurat bagi atlet Islam Terengganu tahun depan

Pakaian tutup aurat bagi atlet Islam Terengganu tahun depan

Exco Terengganu itu berkata, atlet bukan Islam di Terengganu dan atlet dari negeri lain boleh berpakaian mengikut keselesaan mereka.

Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sebagai permulaan, semua pemain beragama Islam di bawah Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu dikehendaki memakai pakaian menutup aurat atau patuh syariah ketika beraksi dalam sebarang kejohanan di dalam mahupun luar negeri, mulai musim depan. (Gambar Facebook)
KUALA TERENGGANU:
Kerajaan Terengganu akan mula melaksanakan konsep pemakaian patuh syariah bagi atlet sukan negeri ini bermula tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata langkah itu selaras dasar kerajaan negeri yang meletakkan Islam sebagai tonggak utama pentadbiran, termasuk dalam aspek sukan bagi memastikan ia bertepatan tuntutan agama Islam.

Beliau berkata, sebagai permulaan, semua pemain bola sepak beragama Islam yang bernaung di bawah Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dikehendaki memakai pakaian menutup aurat atau patuh syariah ketika beraksi dalam sebarang kejohanan, termasuk di dalam dan luar negeri pada musim depan.

“Kita telah melantik mufti negeri, Datuk Dr Zulkifly Muda sebagai anggota Lembaga Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) bagi memberi nasihat dan panduan dalam semua aspek pelaksanaan, termasuk pakaian atlet dan jenis sukan kepada kerajaan negeri.

“Namun begitu, tiada tempoh ditetapkan untuk penguatkuasaan peraturan itu kerana ia bergantung kepada tahap kesediaan atlet itu nanti,” katanya di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-14 hari ini.

Terdahulu, dalam sesi soal jawab, Wan Sukairi menjawab pertanyaan Hishamuddin Abd Karim (PAS-Tepoh) yang ingin tahu komitmen kerajaan negeri dalam melaksanakan konsep pemakaian patuh syariah dalam kalangan atlet Terengganu.

Mengulas lanjut, Wan Sukairi bagaimanapun berkata, kerajaan negeri tidak akan mengambil pendekatan drastik berhubung perkara itu, sebaliknya akan memastikan semua atlet benar-benar bersedia sebelum ia dikuatkuasakan sebagai undang-undang suatu hari nanti.

Beliau berkata, fokus kerajaan negeri ketika ini adalah menerapkan pendidikan dan kesedaran kepada atlet mengenai kepentingan pemakaian patuh syariah supaya mereka dapat mematuhi peraturan itu dengan sendiri, bukannya kerana terpaksa.

“Untuk atlet bukan Islam tidak ada paksaan dan terpulang kepada mereka untuk pakai mengikut keselesaan mereka, tetapi kita galakkan mereka mengikuti pakaian yang patuh syariah.

“Selain itu, peraturan ini nanti juga hanya tertakluk kepada atlet Terengganu sahaja. Untuk atlet dari luar yang datang ke Terengganu, mereka boleh berpakaian mengikut peraturan mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.