Mufti P Pinang sokong seruan tutup aurat pemain bola sepak

Mufti P Pinang sokong seruan tutup aurat pemain bola sepak

Wan Salim Wan Mohd Noor berpendapat menutup aurat tidak akan menjejaskan mutu persembahan atau pencapaian sukan.

Wan Salim Wan Mohd Noor. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Mufti Pulau Pinang menyokong seruan seorang Exco Terengganu yang mahu semua olahragawan beragama Islam, termasuk pemain bola sepak, menutup aurat dalam semua acara bermula tahun depan.

Datuk Wan Salim Wan Mohd Noor berkata ia selaras dengan tuntutan agama.

“Tutup aurat diwajibkan dalam Islam. Saya juga berpendapat menutup aurat tidak akan menjejaskan mutu persembahan atau pencapaian sukan yang diceburi,” katanya ketika dihubungi.

Salim menambah ia lebih mudah diikuti oleh lelaki kerana mereka dikehendaki menutup aurat hanya antara pusat dan lutut.

Semalam, Exco Wan Sukairi Wan Abdullah memberitahu Dewan Undangan Negeri bahawa bermula tahun depan, semua olahragawan dari negeri itu perlu memakai pakaian patuh syariah semasa menyertai acara dalam dan luar Terengganu.

Beliau berkata inisiatif menutup aurat itu akan dimulakan dengan pemain bola sepak dan diperluaskan kepada akiviti sukan lain secara berperingkat.

Beliau berkata langkah itu sebahagian daripada inisiatif kerajaan pimpinan PAS memupuk nilai-nilai Islam, terutama pakaian patuh syariah.

Menurut beliau, inisiatif itu mula dicadangkan oleh mufti negeri. Beliau berkata pelaksanaan tidak serta merta tetapi olahragawan digalakk mencapai standard itu.

Sukairi menepis kebimbangan tentang prestasi, dengan memberikan contoh Azreen Nabila Alias, seorang pelari yang muncul sebagai “ratu pecut” di Sukma baru-baru ini walaupun berpakaian patuh syariah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.