
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata penyertaan itu sebagai tanda “terima kasih” terhadap keputusan kerajaan tidak meratifikasi ICERD.
“Kami akan datang beramai-ramai dalam perhimpunan berkenaan, soal permit diberi atau tidak, itu terpulang kepada penganjur.
“Tetapi, komitmen kami untuk hadir jelas sebagai tanda ucapan terima kasih kami kepada pihak kerajaan yang telah mengambil langkah proaktif,” katanya selepas program lawatannya bersama Majlis Kerja Tertinggi Umno ke Wilayah Persekutuan di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Semalam, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan Malaysia tidak akan menandatangani ICERD, sebaliknya terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara.
Susulan itu, Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah, Aminuddin Yahaya dilaporkan berkata, himpunan pada 8 Disember ini tetap diteruskan di Dataran Merdeka, tetapi ia akan ditukar menjadi majlis kesyukuran untuk meraikan kemenangan rakyat.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, himpunan itu tetap diteruskan, walaupun parti Islam itu menyambut baik keputusan kerajaan tidak mengiktiraf ICERD.
Mengulas gesaan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin supaya himpunan itu tidak diteruskan, Zahid berkata, ia adalah pandangan peribadi bekas ketua Pemuda Umno itu.
“Itu pendapat peribadi dia, kita hormati pihak penganjur yang telah menetapkan himpunan berkenaan.”
Waytha Moorthy digesa letak jawatan
Terdahulu, Zahid dalam ucapannya menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy meletak jawatan susulan kenyataannya berkaitan isu ICERD yang boleh menimbulkan perpecahan.
“Kalau tak dapat jalankan tugas menteri perpaduan, sebaliknya lakukan perpecahan, sila letak jawatan, itu sahaja,” katanya tanpa menamakan Waytha Moorthy yang memegang portfolio perpaduan negara dan kesejahteraan sosial.
Bekas timbalan perdana menteri itu turut mengkritik Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah yang mempertahankan ICERD.
“Menteri luar negeri pertahankan ratifikasi kerana gerakan reformasi, kamu ini orang Islam ke apa? Ini bukan soal politik, kita hanya menuntut apa yang ada dalam Perlembagaan, kita mahu pertahankan.”
Tak takut dipanggil polis
Sementara itu, Zahid berkata, beliau tidak gentar berdepan siasatan polis berhubung kenyataan menyentuh sensitiviti agama serta perkauman di laman sosial.
“Timbalan Ketua Polis Negara (Tan Sri Noor Rashid Ibrahim) keluarkan kenyataan semalam, saya orang ke-9 akan dipanggil oleh pihak polis, apa takut? Saya akan beri keterangan.
“Saya bukan mencabar mereka, tidak. Takkanlah saya mantan menteri dalam negeri, saya tak tahu apa boleh cakap, apa yang tak boleh cakap.”
Semalam, Rashid dilaporkan berkata, Zahid dan Waytha Moorthy antara 9 individu yang akan dipanggil polis berhubung kenyataan menyentuh sensitiviti agama serta perkauman di laman sosial.
Tujuh lagi adalah Presiden Jaringan Melayu Malaysia, Datuk Azwanddin Hamzah; Adun Tanah Rata, Chiong Yoke Kong; Adun Tras, Chow Yu Hui; Pengerusi Gagasan 3 (G3), Ragvinder Singh Jess yang lebih dikenali sebagai Raggie Jessy, dan Timbalannya, Amran Ahmad Nor serta blogger, Lau Shan Thean dan Muhamad Edi Mohamad Riyas atau Edi Rejang.