
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri itu berkata, dakwaan yang nama bekas calon PKR bagi kerusi itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu ditolak bahagian berkenaan berikutan bukan anak tempatan, adalah tidak berasas.
“Kalau betul Streram tidak layak menjadi calon di DUN Rantau, sepatutnya mereka (Bahagian Rembau) sudah menolak beliau sewaktu pemilihan PKR sebagai timbalan ketua cabang (bahagian). Beliau telah berkhidmat bakti lebih 15 tahun kepada masyarakat di Rantau dan Rembau dan sering berulang alik.
“Jadi, tidak timbul isu soal calon tempatan dan bukan tempatan. Saya juga sudah mengadakan perjumpaan dengan (Presiden PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sekarang ini saya serahkan kepada beliau untuk memutuskan siapa yang layak bertanding,” katanya selepas merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang 2018 Sekolah Kebangsaan Sikamat hari ini.
Beliau mengulas laporan akhbar berbahasa Inggeris sebelum ini yang pakar bius itu ditolak Bahagian Rembau sebagai calon PRK DUN Rantau akan datang.
Rabu lalu, Aminuddin yang juga menteri besar dipetik sebagai berkata, PKR Negeri Sembilan mencadangkan 3 nama, termasuk Streram untuk dicalonkan bagi PRK DUN Rantau dan namanya adalah keutamaan.
Pada 28 April lalu, Streram tidak dibenarkan bertanding dalam PRU14 ekoran ketiadaan pas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memasuki pusat penamaan calon, oleh itu, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, diumumkan menang tanpa bertanding kerusi tersebut.
Pada 23 Mei lalu, Streram memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon PRK DUN itu diadakan semula kerana mendakwa penyandangnya, Mohamad yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan, tidak dipilih secara sah dan terbatal.
Pada 16 November lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya di sini memutuskan PRK DUN Rantau perlu diadakan serta-merta berikutan kemenangan Mohamad di kerusi itu adalah tidak sah dan terbatal.