
Rafizi berkata, PKR turut membuka peluang kepada ahli yang berminat menawarkan diri sebagai calon parti itu untuk menghantar borang pencalonan sekiranya memenuhi syarat yang ditetapkan.
“Antara syarat kelayakan yang perlu dipenuhi ialah mestilah anggota PKR yang berusia 18 tahun ke atas, tidak muflis, tidak memiliki rekod jenayah selain daripada sabitan melibatkan kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Rafizi yang juga pengarah pilihan raya PKR berkata proses pemilihan calon itu dibuat mengikut kaedah-kaedah dan amalan seperti PRU15 lalu.
Katanya, langkah tersebut sebagai salah satu usaha dalam memulakan proses pemilihan calon yang demokratik, telus dan objektif.
“Perkara ini sebenarnya bermula pada PRU15 yang lalu. Proses yang telus ini juga penting bagi meyakinkan pengundi bahawa PKR sebagai sebuah parti reformasi sentiasa serius untuk menampilkan calon yang berkualiti dan berwibawa,” katanya.
Katanya, borang itu boleh diakses secara dalam talian bermula hari ini sehingga tarikh tutup permohonan iaitu 10 Julai 2023, jam 5 petang.
Menurutnya, proses saringan calon dikendalikan oleh satu jawatankuasa yang dianggotai semua naib presiden PKR, manakala kuasa untuk memilih calon adalah hak mutlak presiden.