‘Mesyuarat exco kerajaan tempatan lulus papan tanda jalan tulisan Cina di Shah Alam’

‘Mesyuarat exco kerajaan tempatan lulus papan tanda jalan tulisan Cina di Shah Alam’

Majlis Bandaraya Shah Alam berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan Negeri Selangor pada Januari 2017.

Shahrin Ahmad berkata, semua papan tanda jalan bertulisan Cina itu sudah digantikan dengan yang berbahasa Melayu sahaja.
PETALING JAYA:
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berkata, pemasangan papan tanda jalan bahasa Melayu dan Cina di sekitar daerah itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan Negeri Selangor tahun lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat pada 13 Januari 2017.

“Jadi, ini di bawah bidang kuasa Ean Yong Hian Wah (pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram Selangor),” katanya kepada FMT hari ini.

Bagaimanapun, Shahrin berkata, semua papan tanda jalan bertulisan Cina itu sudah diturunkan dan digantikan dengan yang berbahasa Melayu sahaja.

Sementara itu, Ean Yong ketika dihubungi FMT enggan mengulas perkara itu.

“Saya tiada komen. Terima kasih,” katanya ringkas.

Isnin lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dilapor mengarahkan semua papan tanda jalan tulisan Cina di Shah Alam diturunkan dan digantikan papan tanda bahasa kebangsaan sahaja.

“Operasi penukaran papan tanda jalan ini hendaklah dilaksanakan dengan segera dan diselesaikan selewat-lewatnya sebelum sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-73 Sultan Selangor, iaitu pada 11 Disember ini,” demikian menurut surat dikeluarkan Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani kepada setiausaha kerajaan negeri dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Sebelum ini, seorang penduduk Shah Alam menerusi Twitternya mempersoalkan kewajaran memasang papan tanda jalan tulisan Cina di kawasannya dan kedudukan papan tanda jalan tulisan Jawi yang digunakan sebelum itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.