
Perdana menteri berkata, keutamaan diberikan kepada kes besar yang kebanyakannya membabitkan pemimpin Umno.
“Kita mempunyai beribu kes hasil daripada pemerintahan Datuk Seri Najib Razak.
“Kita tak boleh buat 1,000 kes dalam satu hari, jadi kita tumpu mana yang besar sahaja dan kes yang besar-besar ini kebanyakan melibatkan pemimpin Umno.
“Sebab itu kita ambil tindakan kepada orang ini, bukan kerana dia Umno, tetapi kerana dia melakukan jenayah,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-rasuah di Perdana Putra hari ini.
Sabtu lalu, Ketua Umno Bahagian Batu Pahat, Datuk Mohd Puad Zarkashi dilapor mempersoalkan mengapa hanya pemimpin Umno didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tetapi bukannya bekas menteri atau pemimpin MCA, MIC serta Gerakan.
Sementara itu, Dr Mahathir menyerahkan kepada SPRM untuk menyiasat dakwaan 8 daripada 10 kontrak di bawah sebuah kementerian diberi terus melalui anak seorang menteri Pakatan Harapan (PH).
“SPRM sedang siasat.”