4 kesalahan papan tanda yang rosakkan bahasa

4 kesalahan papan tanda yang rosakkan bahasa

Isu papan tanda yang tidak menggunakan nahu bahasa Melayu yang betul sentiasa wujud di mana-mana sahaja di Malaysia.

Baru-baru ini Sultan Sultan Sharafuddin menitahkan agar semua papan tanda di Shah Alam yang mempunyai tulisan Cina digantikan dengan papan tanda jalan satu bahasa sahaja, iaitu bahasa Melayu.

Selaku bahasa kebangsaan, wajarlah penggunaaan Bahasa Melayu dimartabatkan secara adil dalam masa yang sama memupuk rasa cinta terhadap bahasa itu.

Pun begitu, selain papan tanda nama jalan, papan-papan tanda yang digantungkan di kedai atau restoran makan, di tempat awam, papan amaran dan maklumat juga didapati banyak kesalahan sama ada dari segi bahasa, tatabahasa, ejaan dan sebagainya.

FMT Ohsem merujuk kepada salah guna bahasa beberapa papan tanda yang terdapat di sekeliling kita dengan kesalahan bahasa yang perlu di baiki segera.

Secara amnya, terdapat 4 kategori kesalahan utama dan ia dijelaskan di bawah:

Ejaan

Ejaan menjadi elemen terpenting dalam menyampaikan sesuatu perkataan dengan betul. Walaupun banyak kesalahan bahasa berkait dengan ejaan, ada kalanya ia dipandang enteng kerana sekadar salah satu atau 2 huruf. Lazimnya kesalahan ejaan ini berlaku kerana bunyinya tetap sama walau disalah eja, masih menggunakan ejaan lama atau ejaan salah sudah didaftar.

Contoh:

Kedai jahitan dan perabut Soon Lee
Betul: Perabot
Mungkin kerana bunyinya hampir sama.

Kelinik Air Keroh
Betul: Klinik
Kelinik dipercayai ejaan lama untuk klinik.

Tatabahasa

Kesalahan tatabahasa boleh merosakkan seluruh penyampaian. Malah bagi mereka yang peka terhadap bahasa, kesalahan tatabahasa adalah sesuatu yang wajar diperbetulkan dengan segera supaya ia tidak menjadi ikutan atau disalah tafsir. Papan tanda salah tatabahasa boleh membawa kesan negatif kepada aspek pembangunan bahasa itu sendiri.

Contoh:
Jualan larang masuk
Betul: Jurujual dilarang masuk
Jualan membawa makna yang berbeza.

Contoh: PSL Goreng pisang
Betul: Pisang goreng PSL
Salah satu kesalahan paling popular dan sudah sebati dalam penggunaan bahasa.

Mencampur-aduk bahasa

Banyak kesalahan bahasa dilakukan pada papan maklumat dengan mencampur aduk bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Ia mungkin dilakukan untuk memudahkan penterjemahan atau memudahkan pemahaman tetapi salah tetap salah.

Contoh:

Tolong jangan letakkan kenderaan anda di hadapan pump angin
Betul: Tolong jangan letakkan kenderaan anda di hadapan pam angin
Pump adalah perkataan bahasa Inggeris dan perkataan sebenar bahasa Melayu ialah ‘pam’.

Sila bayar di cashier
Betul: Sila bayar pada juruwang
Penggunaan perkataan ‘cashier’ sepatutnya diubah kepada juruwang.

Salah terjemah ayat bahasa Inggeris

Bumi untuk dijual
Betul: Tanah untuk dijual
Alih bahasa ‘land’ for sale kadang kala disalah terjemah dengan perkataan bumi.

Dilarang mengguna phone tangang
Betul: Dilarang guna telefon bimbit
Sudahlah tangan di salah eja dan kesalahan tatabahasa dengan memberi imbuhan ‘meng’ dalam mengguna, ‘handphone’ pula diterjemah sebagai phone tangan(g) yang mana salah terjemahanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.