
Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah berkata, arahan menurunkan papan tanda jalan akan dikeluarkan dan penurunannya akan dibuat di kawasan Subang Jaya dan Petaling Jaya.
“Memang ada tindakan segera yang diambil untuk menurunkan papan tanda, khususnya di kawasan Subang Jaya dan Petaling Jaya. Kita merafak sembah titah yang dibuat Sultan Selangor,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Sultan Selangor mengarahkan semua papan tanda di Shah Alam yang mempunyai tulisan bahasa Cina ditanggal dan digantikan dengan papan tanda jalan dengan satu bahasa sahaja iaitu bahasa Melayu.
Arahan itu disampaikan oleh Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani menerusi surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad.
“Operasi penukaran papan tanda jalan ini hendaklah dilaksanakan dengan segera dan dapat diselesaikan selewat-lewatnya sebelum tarikh sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-73 Sultan Selangor iaitu pada 11 Dis ini,” demikian menurut beliau dalam surat.
Arahan baginda itu dipercayai susulan laporan media sebelum ini mengenai beberapa papan tanda nama jalan di Shah Alam yang sebelum ini ditulis dengan bahasa Melayu dan Jawi namun kemudian ditukar kepada tulisan Cina serta mengekalkan bahasa Melayu.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai Twitter milik seorang penduduk Shah Alam yang mempersoalkan kewajaran papan tanda nama jalan di kawasannya ditulis dengan bahasa Cina.
Individu berkenaan turut mempersoalkan ke mana menghilangnya tulisan Jawi yang sebelum ini digunakan pada papan tanda nama jalan itu.