Ucapan Streram diganggu kerana puji Rafizi berulang-kali

Ucapan Streram diganggu kerana puji Rafizi berulang-kali

Perwakilan juga meminta naib ketua PKR Rembau turun pentas kerana perbahasannya dikatakan tiada kaitan dengan ucapan dasar presiden.

SHAH ALAM:
Ucapan perbahasan perwakilan dari Negeri Sembilan, Dr Streram Sinnasamy diganggu perwakilan PKR kerana berulang kali memuji Rafizi Ramli yang mengaku kalah dalam pertandingan jawatan timbalan presiden baru-baru ini.

Perwakilan juga meminta naib ketua PKR Rembau itu turun daripada pentas kerana perbahasannya dikatakan tiada kaitan dengan ucapan dasar Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Kongres Nasional PKR ke-13 hari ini.

“Sudahlah, panaslah,” kata sebahagian perwakilan PKR hadir di Pusat Konvensyen Ideal hari ini.

Streram nampaknya amat berterima kasih kepada Rafizi, kerana dia memberikan peluang kepadanya untuk bertanding di DUN Rantau, Negeri Sembilan pada pilihan raya umum lepas.

Pakar bius ini bersiap sedia untuk sekali lagi bertanding di situ selepas Mahkamah Khas Pilihan Raya membenarkan petisyennya dan membatalkan keputusan pilihan raya DUN Rantau semalam.

“Sebab Rafizi Ramli, saya ada di pentas hari ini. Bila pilihan raya umum, saya diumum dan dipanggil Rafizi untuk jadi calon,” katanya.

Steram berjanji kepada para perwakilan dia akan memberi kemenangan kepada parti sekiranya PKR memilihnya sebagai calon pilihan raya kecil DUN Rantau.

“Saya janji kalau saya diberi amanat sebagai calon Rantau, kita akan menang dan parti kita akan raih satu lagi kerusi,” katanya.

Semalam, Streram yakin dia akan diberi peluang untuk bertanding di DUN Rantau memandangkan beliau sudah berkhidmat di situ selama lebih 2 tahun sebelum pilihan raya umum 9 Mei.

Pada pilihan raya lepas, calon Barisan Nasional Datuk Seri Mohamad Hasan diumumkan pemenang di DUN Rantau selepas Streram gagal mengemukakan kertas pencalonan kerana dilarang masuk ke pusat penamaan calon disebabkan tiada pas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.