
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata operasi menahan semua suspek yang disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas itu dilakukan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas.
Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata, tangkapan pertama melibatkan lelaki tempatan yang bekerja sebagai ejen menjual jongkong emas berusia 38 tahun di Putrajaya pada 30 Oktober lalu.
“Suspek terlibat dalam menyalurkan dana kepada Akel Zainal (rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan pengganas IS di Syria) pada 2017 bagi tujuan membiayai aktiviti keganasan.”
Tangkapan ke-2 pada 1 November di Tenom, Sabah melibatkan 3 suspek warga Filipina berusia 27, 34 dan 51 tahun yang bekerja sebagai buruh.
“Mereka menganggotai Kumpulan Abu Sayyaf yang terlibat dalam kegiatan penculikan untuk wang tebusan di selatan Filipina dan Sabah,” katanya sambil menambah suspek berusia 34 tahun itu mempunyai kemahiran menghasilkan senjata api bagi kegunaan kumpulan berkenaan.
Tangkapan seterusnya dilakukan di Ranau, Sabah pada 8 November melibatkan 2 lagi warga Filipina berusia 35 dan 46 tahun yang masing-masing bekerja sebagai buruh serta juruteknik.
“Suspek berusia 35 tahun berperanan merekrut kanak-kanak untuk menyertai kumpulan Abu Sayyaf dan dijadikan perisai manusia semasa bertempur dengan tentera Filipina di Basilan, selatan Filipina.
“Beliau juga terlibat dalam memenggal kepala tebusan kumpulan itu. Semasa ditangkap, kedua–dua suspek sedang merancang melarikan diri ke selatan Filipina bagi mengelak ditangkap pihak berkuasa Malaysia.”
Beliau berkata, serbuan ke-4 pada 10 November lalu di Kinarut, Sabah menyaksikan penahanan seorang tukang besi warga Filipina berusia 30 tahun, yang merupakan komander Abu Sayyaf yang juga orang kanan kepada Furuji Indama, pemimpin kanan kumpulan itu.
Seorang peniaga pasar malam warga Filipina berusia 60 tahun ditahan dalam operasi ke-5 dan terakhir di Tenom, Sabah pada 12 November lalu.
Dia melindungi seorang suspek yang ditangkap pada 8 November semasa cuba melarikan diri daripada buruan polis.
Mereka ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA – Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747).