
Dalam lawatan terbaharu ke Jakarta, Pengerusi Hedayah berpangkalan di Abu Dhabi, Ali Rashid Al Nuaimi, berkata kanak-kanak sering melihat permainan sebagai hiburan tidak berbahaya, menjadikan mereka sasaran mudah kepada mesej ekstremis.
“Keganasan adalah isu, ancaman global. Kumpulan ideologi ganas dahulunya rekrut melalui pertemuan langsung atau media sosial; kini kumpulan pengganas merekrut pejuang melalui permainan dalam talian.”
Badan Nasional Antikeganasan Indonesia turut menyuarakan kebimbangan sama dan berkata, pihaknya telah merangka langkah untuk menangani ancaman itu.
“Kami melihat rangkaian pengganas tempatan merekrut golongan muda melalui media sosial dan permainan dalam talian dan kami mengambil langkah menanganinya,” kata Ketua BNPT, Eddy Hartono dalam kenyataan.
Program Duta Keamanan agensi itu menggalakkan belia menyebarkan mesej keamanan dalam talian bagi menangkis naratif ekstremis.
Hedayah, pusat kecemerlangan antarabangsa dalam menangani ekstremisme ganas, dianggotai wakil 12 negara di bawah “Global Counterterrorism Forum” termasuk Kanada, Mesir, Indonesia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Turki.