Kursus kahwin wajib bantu pasangan Katolik siapkan diri

Kursus kahwin wajib bantu pasangan Katolik siapkan diri

Kursus pra-perkahwinan gereja Katolik bertujuan membantu pasangan yang mahu berkahwnin memahami tanggungjawab perkahwinan dan kekeluargaan.

Kerap kali pasangan yang mahu berkahwin berasa malu untuk membincangkan perkara penting berkait perkahwinan dan kekeluargaan. (Gambar Bloomberg)
PETALING JAYA:
Kursus pra-perkahwinan adalah wajib bagi semua penganut Katolik untuk mempersiapkan diri mereka dengan tanggungjawab alam perkahwinan, kata Uskup Agung Gereja Roman Katolik, Kuching, Simon Poh.

Beliau berkata, kursus tersebut bertujuan membantu pasangan terbabit memahami tanggungjawab perkahwinan dan kekeluargaan.

“Kursus pra-perkahwinan penganut Katolik mempunyai 7 hingga 8 bahagian yang dilaksanakan selama 7 minggu. Bagi mereka yang mahu berkahwin di bawah gereja Katolik, mereka diwajibkan mengambil kursus ini.

“Mereka akan diajar komitmen kekeluargaan dan semua kemahiran dalam mengurus keluarga,” katanya kepada FMT.

Terbaru, kerajaan bercadang melaksanakan program pra-perkahwinan untuk pasangan bukan Islam yang mahu mendirikan rumah tangga bagi mengelak bilangan kes perceraian yang tinggi berterusan di negara ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh dilaporkan berkata, program itu penting bagi menyediakan asas kukuh untuk membina keluarga bahagia, terutama bagi pasangan yang baru berkahwin.

“Ketika ini pihak kementerian sedang membincangkan kursus sedemikian untuk diikuti pasangan bukan Islam, mengikut kepercayaan agama masing-masing,” katanya.

Simon berkata, antara perkara yang diajar dalam kursus pra-perkahwinan anjuran gereja Katolik ialah aspek kebudayaan dan komunikasi, perhubungan dengan mertua, kemahiran menyelesaikan konflik serta proses mendapatkan anak.

“Masa depan anak akan lebih terjamin bersama keluarga yang berkemahiran apabila pasangan telah menghadiri kursus perkahwinan,” katanya.

Peguam undang-undang keluarga, Honey Tan Lay Ean berkata, kursus pra-perkahwinan pasangan bukan Islam wajib dilaksanakan bagi menyediakan asas penting dalam perkahwinan.

Beliau berkata, kerap kali pasangan yang mahu berkahwin berasa malu untuk membincangkan perkara penting itu.

“Contohnya pasangan perlu menghormati antara satu sama lain, berkomunikasi dengan efektif, memahami bahawa keganasan rumah tangga adalah satu jenayah, faham tentang aset dimiliki pasangan atau hutang yang mereka ada.

“Malah proses mendidik anggota masyarakat tentang perkahwinan boleh dimulakan di peringkat sekolah lagi,” katanya.

Beliau berkata, di sekolah, mereka perlu diajar untuk menghormati antara satu sama lain, walaupun warna kulit dan agama adalah berbeza. Ia juga penting untuk memecahkan peranan stereotaip gender, baik wanita atau lelaki.

Pembimbing perkahwinan dan keluarga, Gunapathy Arumugam berkata, badan bukan kerajaan (NGO) agama Hindu telah mempromosi kursus pra-perkahwinan yang diperkenalkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), tetapi tidak mendapat sambutan.

“Ini kerana ramai penganut agama Hindu masih mempercayai astrologi bagi menentukan sama ada sesuatu pasangan itu sesuai untuk berkahwin atau tidak.

“Anggota masyarakat India masih mempercayai astrologi serta neuromologi dalam isu perkahwinan ini walaupun setelah diberitahu dalam kalangan orang bukan Islam, kadar perceraian orang India paling tinggi.

“Kami sudah mengajak golongan muda yang bakal berkahwin untuk sertai kursus pra-perkahwinan, tetapi mereka tidak berminat kerana tiada kesedaran dalam kalangan ahli keluarga dan kawan-kawan,” katanya lagi.

Katanya, kerajaan juga memberi bantuan dari segi kewangan kepada pasangan yang belum berkahwin untuk menyertai kursus pra-perkahwinan, tetapi ramai orang India tidak berminat kerana ia tidak diwajibkan.

“Malah mereka juga mempersoalkan kenapa kursus sedemikian perlu dihadiri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.