
Beliau yang dilaporkan bersetuju melepaskan jawatan presiden UIA yang mencetuskan kontroversi itu, berkata nama calon terbabit akan diserahkan kepada Ketua Perlembagaan UIA, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.
“Bakal presiden UIA mesti terkenal di peringkat antarabangsa dan mempunyai reputasi tinggi,” katanya selepas meninjau peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1), hari ini.
Maszlee dilaporkan bersetuju melepaskan jawatan itu dan menunggu majlis konvokesyen UIA yang sedang berlangsung berakhir, sebelum memberi laluan kepada pelantikan penggantinya.
Tiada rombakan Kabinet
Dalam perkembangan lain, Maszlee menafikan laporan rombakan Kabinet melibatkan beliau dan menyifatkannya khabar angin bagi mengalihkan tumpuan daripada siasatan kes berprofil tinggi sebelum ini.
Katanya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta beliau merombak kokurikulum pelajaran dalam pertemuan baru-baru ini.
“Beliau minta saya rombak kokurikukum dan bukannya pasal Kabinet. Takkan perkara yang memerlukan komitmen 4 tahun, hendak rombakan Kabinet pula.”
Sebuah portal sebelum ini melaporkan perdana menteri akan melakukan rombakan Kabinet bulan depan kerana tidak berpuas hati dengan prestasi beberapa menteri PPBM.
Portal itu mendakwa Maszlee dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun antara mereka yang bakal digugurkan.