
Fadhlina berkata, Maszlee yang juga bekas menteri pendidikan sepatutnya membenarkan kementerian menyelesaikan siasatan dalaman terlebih dahulu.
“Bagi ruang siasatan ini (dijalankan), apa yang susah sangat? Siasatan sedang berlangsung,” katanya kepada pemberita hari ini.
“Saya ulang banyak kali, kita cukup tegas dalam isu ini dan tidak akan biarkan ia terlepas begitu sahaja.
“Isu Jalur Gemilang bukan main-main ya … kita akan sentiasa bagi komitmen supaya siasatan ini dapat dilaksanakan dengan penuh integriti.”
Terdahulu, Maszlee menggesa beberapa pegawai tertinggi KPM, termasuk ketua pengarah dan pengarah Lembaga Peperiksaan, meletak jawatan berhubung isu Jalur Gemilang yang silap dipaparkan itu.
Laporan itu mengandungi imej pelajar-pelajar di dalam bilik darjah, dengan Jalur Gemilang mempunyai dua bintang tergantung di dinding. Bendera itu turut mempunyai hanya lapan jalur merah dan putih berselang-seli.
Kesilapan itu berlaku hanya seminggu selepas beberapa kesilapan paparan Jalur Gemilang lain dilakukan oleh akhbar tempatan Sin Chew Daily dan Kwong Wah Yit Poh, serta vendor syarikat Singapura yang membuka reruai di pameran dagangan di Kuala Lumpur.
KPM memohon maaf atas kesilapan itu dan berkata bahawa ‘tindakan tegas dan segera’ telah diambil terhadap pihak yang terlibat dalam perkara itu.
Sementara itu, Fadhlina berkata, 96 pelajar yang menginap di asrama SMK Tinggi Setapak yang musnah dalam kebakaran malam tadi akan dipindahkan sementara ke lokasi lain.
Katanya, para pelajar terbabit akan menyambung sesi pembelajaran dalam talian buat sementara waktu, dan bekalan yang diperlukan telah diagihkan kepada mereka.
Kebakaran yang berlaku malam semalam membabitkan sebuah blok asrama menempatkan pelajar lelaki, yang kesemuanya berada di surau sekolah, ketika kejadian.
Bomba berkata, kebakaran itu memusnahkan 80% tingkat satu asrama itu.