Bekas menteri pendidikan tak tahu susu kotak 1Malaysia tidak diedar

Bekas menteri pendidikan tak tahu susu kotak 1Malaysia tidak diedar

Mahdzir Khalid juga tidak ingat bagaimana proses pengedaran susu kotak PS1M yang merupakan sebahagian daripada Rancangan Makanan Tambahan.

susu kotak PS1M merupakan sebahagian daripada RMT bagi murid sekolah rendah.
KUALA LUMPUR:
Bekas menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid tidak mengetahui isu berkaitan susu kotak Program Susu 1Malaysia (PS1M) yang didakwa tidak diedarkan sejak awal tahun ini.

“Saya tidak tahu, saya tidak ingat macam mana prosesnya. Tetapi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) itu saya tahulah.

“Saya tidak pasti, saya tidak tahu langsung. Tetapi saya ingat dahulu ia dibahagi-bahagikan mengikut zon-zon di setiap negeri. Berkaitan yang tidak diedarkan itu, saya tidak tahu, nak kena periksa,” katanya sewaktu ditemui pemberita di PWTC, hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Harry Tan Huat Hock memetik laporan Malaysiakini berkata, sepatutnya selepas diumumkan dalam Bajet 2018, susu tersebut dibekalkan kepada pihak sekolah mulai awal tahun ini.

“Dan kami sangat terkejut kenapa program yang baik dihentikan tanpa apa-apa maklumat daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Menurut penolong kanan hal ehwal murid dan hal ehwal pelajar (di sekolah-sekolah) mereka difahamkan memang (bekalan) tidak ada (sejak awal tahun),” Tan dipetik sebagai berkata.

Program Susu 1Malaysia dahulunya dikenali sebagai Program Susu Sekolah (PSS) dimulakan sejak 1983. Ia merupakan sebahagian daripada RMT yang bertujuan menggalakkan amalan minum susu di kalangan murid sekolah rendah.

Bajet 2018 yang dibentangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) memperuntukkan sebanyak RM299.97 juta untuk perlaksanaan RMT yang turut mengandungi PS1M. Bagaimanapun dalam Bajet 2019 selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan, program RMT diteruskan namun PS1M tidak lagi diedarkan.

Pada September tahun lalu, turut dilaporkan Datuk P Kamalanathan yang ketika itu menjawat jawatan sebagai timbalan menteri pendidikan berkata, kementeriannya membelanjakan RM49.3 juta untuk tempoh Julai hingga Disember bagi menjayakan PS1M.

Ketika itu, Kamalanathan menyatakan peruntukan berkenaan akan memberi manfaat kepada 757,439 murid bagi tahun 1 hingga 6 di 7,780 sekolah rendah seluruh negara. Bahkan kementeriannya turut menilai untuk memperluaskan program berkenaan kepada pelajar sekolah menengah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.