Umno berhak tuntut Parlimen Alor Setar, kata Mahdzir

Umno berhak tuntut Parlimen Alor Setar, kata Mahdzir

Tuntutan dikemuka Umno Alor Setar itu bagaimanapun bercanggah formula 'parti kedua raih undi terbanyak' bertanding di kawasan yang kalah.

Mahdzir Khalid
Ketua Umno Kedah Mahdzir Khalid berkata tidak salah menilai semula kesesuaian parti mana patut bertanding di Parlimen Alor Setar pada PRU16. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Usul menuntut Parlimen Alor Setar kembali ditandingi Umno tidak akan membawa perpecahan dalam kerajaan perpaduan, sebaliknya memperkukuh Barisan Nasional (BN) menjelang PRU16.

Ketua Umno Kedah, Mahdzir Khalid, berkata tiada salah bagi Umno Alor Setar membuat usul itu walaupun kawasan berkenaan pernah dimenangi Pakatan Harapan (PH) pada PRU14, namun dirampas Perikatan Nasional (PN) pada PRU15.

Katanya, Umno bahagian mempunyai hak menuntut Parlimen itu termasuk satu kerusi DUN dalam kawasan berkenaan.

“Kita ada hak untuk minta dan tiada salahnya untuk Umno Alor Setar berbuat demikian.

“Tak ada salahnya untuk kita menilai semula kesesuaian parti mana yang harus bertanding di Parlimen dan DUN tersebut, atau mana-mana kawasan demi kebaikan bersama,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas usul dibuat Umno Alor Setar supaya parti itu kembali diberikan kerusi Parlimen Alor Setar serta satu daripada kawasan DUN.

Pada PRU15, PN menerusi Afnan Hamimi Taib Azamudden menang Parlimen Alor Setar dengan majoriti 9,931 undi, mengalahkan calon PH Simon Ooi Tze Min (27,555) dan BN diwakili Tan Chee Hiong (8,930).

Pada PRU14, PH menang kerusi itu dengan majoriti lebih 15,000.

Selain Parlimen Alor Setar, bahagian Umno itu menuntut sama ada DUN Suka Menanti atau Alor Mengkudu.

Pada PRN enam negeri termasuk di Kedah Ogos tahun lalu, gabungan BN-PH kalah DUN Suka Menanti dan Alor Mengkudu, kecuali DAP berjaya mengekalkan kerusi DUN Kota Darulaman.

Pada Mei lalu, menjelang PRK Sungai Bakap, Presiden Umno Zahid Hamidi berkata formula digunakan bagi kawasan tidak dimenangi kerajaan perpaduan pada PRU atau PRN, diberikan kepada parti kedua meraih undi terbanyak untuk bertanding.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.