
Tuanku Muhriz berkata Negeri Sembilan, Tanah Melayu dan Malaysia diasaskan atas asas persekutuan yang baik tetapi pertimbangan politik menyaksikan negara menjadi kerajaan paling terpusat.
“Baru-baru ini rakyat tunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia boleh menjadi demokrasi yang lebih baik. Saya harap kerajaan persekutuan baharu akan bekerjasama dengan kerajaan negeri…mengambil amalan terbaik daripada persekutuan demokrasi lain di seluruh dunia,” katanya hari ini.
Tuanku Muhriz berkata demikian ketika melancarkan biografi bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hishamudin Yunus bertajuk “Hishamudin Yunus: Celebrating Judical Independence” yang menghimpunkan sumbangan daripada 29 penyumbang termasuk pakar undang-undang Prof Datuk Shad Saleem Faruqi dan peguam Datuk Ambiga Sreenevasan.
Mengenai kebebasan badan kehakiman, Yang di-Pertuan Besar menyeru semua pihak menghormati kedudukan para hakim agar tugas boleh dilaksanakan tanpa gentar atau pilih kasih.
Bagi para hakim pula, Tuanku Muhriz berkata seorang hakim mesti sentiasa mengutamakan prinsip asas yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau mengingatkan seorang hakim mesti tidak memihak dan mengelakkan ketidakwajaran dalam apa jua bentuk.
“Selain itu, hakim yang baik juga seharusnya menunjukkan kesabaran dan belas kasihan dalam membuat keputusan,” katanya.