
Wan Farid mengakui masa lalunya yang unik apabila pernah berkhidmat dalam ketiga-tiga cabang kerajaan.
“Saya tidak dapat memadam sejarah saya, sama ada berkaitan politik atau sebaliknya… tetapi dalam saya memikul amanah yang paling berat ini dan selagi saya menduduki kerusi ini, saya berjanji sepenuh hati yang saya akan melindungi dan memelihara kebebasan badan kehakiman dengan sepenuh jiwa raga,” katanya dalam ucapan sulungnya hari ini.
Wan Farid, bekas ahli Umno yang sebelum ini pernah menjadi timbalan menteri dan senator berkata, badan kehakiman mesti kekal boleh dipercayai oleh orang awam dan kerajaan.
“Kita (hakim) tidak boleh menghampakan mereka. Dalam sebarang keputusan (dicapai oleh mahkamah) memang mustahil untuk memuaskan hati semua pihak. Ini sesuatu yang kita sedia jangkakan,” katanya.
“Apapun keputusan yang kita capai, kita mesti pastikan pihak yang kalah melangkah keluar dari kamar mahkamah kita dengan perasaan berpuas hati kerana diberi peluang untuk bersuara, membentangkan bahan bukti mereka dan didengari.”
Selain itu katanya, badan kehakiman akan berusaha ke arah menyelesaikan kes yang tertangguh dan tertunggak di negara ini.
“Sukacita saya memaklumkan bahawa kami bekerjasama dengan kerajaan untuk menambah bilangan kamar mahkamah selain melantik lebih ramai pesuruhjaya kehakiman.
“Kami akan melantik hakim litar dan pesuruhjaya kehakiman di pelbagai lokasi untuk mendengar kes lama seterusnya menyelesaikannya dalam tempoh tertentu,” katanya.
Katanya, Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan juga akan mula mengadakan semula persidangan di luar Lembah Klang seterusnya memudahkan pihak-pihak di tempat berkenaan turut mengikuti prosiding mahkamah apeks.