Negeri Sembilan akan pinda enakmen berkaitan Islam

Negeri Sembilan akan pinda enakmen berkaitan Islam

Ia melibatkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003, Enakmen Mahkamah Syariah Negeri Sembilan 2024 dan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan).

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah inisiatif itu dijangka dapat memantapkan lagi pentadbiran agama Islam di negeri itu. z(Gambar Bernama)
PORT DICKSON:
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah beberapa enakmen berkaitan agama Islam di negeri ini akan dipinda.

Ia melibatkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003, Enakmen Mahkamah Syariah Negeri Sembilan 2024 dan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan).

“Semua inisiatif ini dijangka dapat memantapkan lagi pentadbiran agama Islam di negeri ini dengan memperbesarkan skop dan bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) serta memudahkan agensi itu lebih proaktif dalam memulakan inisiatif baharu,” titah baginda pada Taklimat Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan 2023 di sini.

Turut berangkat ke majlis itu Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan dihadiri Menteri Besar, Aminuddin Harun dan Pengerusi Mains, Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir.

Dalam pada itu, Tuanku Muhriz bertitah, bagi mencapai tahap negara maju, keutamaan perlu diberi kepada pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang giat diperluaskan di seluruh negara.

Baginda menjelaskan program pendidikan itu penting dalam melahirkan tenaga kerja diperlukan oleh industri bagi kemajuan negara.

“Beta difahamkan Mains menjalin kerjasama program TVET dengan beberapa institusi pendidikan bagi anak-anak asnaf dalam bidang kemahiran seperti kimpalan, mekatronik, penyaman udara dan pengudaraan mekanikal.

“Peranan Mains dalam menggalakkan pelajar melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian Islam dan bidang diperlukan bagi memajukan masyarakat Islam amat dialu-alukan.”

Justeru, Tuanku Muhriz bertitah, Mains turut menggantikan sistem pinjaman kepada biasiswa penuh tahun lalu memanfaatkan 41 pelajar melibatkan kos hampir RM1 juta.

Sementara itu, Tuanku Muhriz bertitah Mains membiayai penyelidikan oleh institusi pengajian tinggi bagi meningkatkan keberkesanan tadbir urus program bertujuan membangunkan masyarakat Islam di negeri ini.

“Sebagai contoh, pembiayaan diberi untuk Kajian Had Kifayah atau Kadar Keperluan Asas Minimum berdasarkan kos sara hidup masa kini. Hasil kajian ini membantu menentukan kelayakan bantuan yang perlu diberikan kepada golongan asnaf.”

Baginda bertitah Mains juga giat melahirkan usahawan dalam kalangan asnaf agar dapat keluar daripada kepompong kemiskinan melalui aktiviti sosioekonomi seperti Projek Ternak Ayam Kampung, Projek Madu Kelulut dan kursus latihan urutan badan melalui program Usahawan MyBeedan.

Tuanku Muhriz bertitah tugas memelihara dan menegakkan syiar Islam memerlukan usaha kolektif semua pemimpin negeri dan persekutuan dalam menyantuni serta membangunkan umat Islam di negeri ini.

“Terapkanlah nilai-nilai kasih sayang, muhibah dan toleransi dalam perhubungan dan hindarilah persengketaan yang merugikan agama dan bangsa. Semua pihak perlu memelihara keharmonian, menghormati perbezaan, menghargai persamaan dan mencintai kedamaian antara kaum.”

Dalam pada itu, baginda mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan yang bakal tiba nanti serta berkenan mendoakan hasrat rakyat Palestin menubuhkan negara bebas dan merdeka menjadi kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.