
Naib Cancelor UMK Prof Datuk Dr Husaini Omar berkata perincian sistem e-sedekah melibatkan kerjasama antara UMK dengan Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) menerusi teknologi yang semakin popular di Malaysia.
“Kod QR ini mampu menterjemahkan secara pantas isi kandungan hanya menerusi kamera telefon bimbit atau smartphone,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan e-sedekah pada Majlis Apresiasi Universiti Malaysia Kelantan 2018, hari ini.
“Peranti yang sudah dilengkapi dengan pengesan barcode boleh terus mengimbas kod QR e-sedekah ini yang secara automatik akan terus ke isi kandungannya, ataupun pengguna hendaklah memuat naik aplikasi pengesan barcode untuk membolehkan kod QR dapat dibaca.
Dr Husaini berkata, ciri pembayaran melalui imbasan kod QR ini akan memudahkan urusan warga kampus dan orang ramai untuk bersedekah kepada universiti tanpa wang tunai di tangan.
“Kod QR ini akan diperluaskan sekitar kawasan kampus, dan untuk orang ramai yang berminat untuk bersedekah, kod ini akan diiklankan ataupun dipromosi dalam media sosial dan akhbar oleh pihak universiti,” katanya.
“Dengan adanya sistem ini, kita nak terapkan kepada warga kampus dan orang ramai, walaupun berada di mana-mana, sedekah boleh dilakukan, tidak lagi sedekahnya ditunjuk-tunjuk,” katanya.
Sumbangan yang diperoleh daripada sistem ini akan digunakan untuk kebajikan pelajar miskin, pembangunan universiti, dan pengajaran dan pembelajaran.