Kesatuan Guru Sarawak harap kerajaan utamakan sekolah kritikal usang

Kesatuan Guru Sarawak harap kerajaan utamakan sekolah kritikal usang

Terdapat 1,020 sekolah usang dan 415 sekolah kritikal usang di Sarawak.

Kerajaan turut membenarkan penyumbang kepada tabung penyelenggaraan sekolah kerajaan layak menuntut potongan cukai.
PETALING JAYA:
Kesatuan Guru Sarawak berharap peruntukan RM100 juta bagi pembinaan semula sekolah daif di seluruh negara dalam Bajet 2019 akan mengutamakan pembinaan semula sekolah yang dikategorikan sebagai kritikal usang.

Presidennya, Macky Joseph berkata peruntukan diberikan kepada sekolah yang kritikal usang supaya kerja pembinaan semula, pembaikkan dan peningkatan boleh dilaksanakan dengan segera.

“Di Sarawak, terdapat 1,020 buah sekolah yang usang dan 415 buah sekolah dikategorikan sebagai kritikal usang,” katanya ketika dihubungi FMT.

Terdahulu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam pembentangan Bajet 2019 memperuntukkan RM60.2 bilion atau 19.1% daripada keseluruhan perbelanjaan untuk Kementerian Pendidikan.

Sebanyak RM652 juta daripada peruntukan itu bertujuan menaik taraf dan menyelenggara semua sekolah di seluruh negara.

Selain itu, pembinaan sekolah tambahan akan dibiayai melalui kaedah pertukaran tanah secara tender terbuka.

Macky menambah, peruntukan Kementerian Pendidikan sebanyak RM400 juta bagi menaik taraf, pembaikan dan penyelenggaraan kuarters perumahan kerajaan termasuk kuarters guru, juga sangat bagus.

“Sebagai kesatuan yang menjaga kesejahteraan guru, kami mengalu-alukan peruntukan ini kerana sesetengah guru di Sarawak tinggal di kuartes yang teruk.

Beliau juga memuji langkah kerajaan membenarkan semua penyumbang kepada tabung penyelenggaraan sekolah kerajaan dan Institut Pengajian Tinggi Awam akan layak menuntut potongan cukai ke atas sumbangan mereka dalam pengiraan cukai pendapatan mulai 1 Januari 2019.

“Ia adalah langkah baru kerajaan untuk menyumbang ke arah pembinaan negara. Bagaimanapun, garis panduan yang jelas dengan prosedur operasi standard (SOP) perlu ada bagi melihat penerima sumbangan diwujudkan.

“Akaun penderma perlu direkod dan pihak terlibat akan mengeluarkan resit pengecualian cukai kepada penderma.

Katanya, menerusi garis panduan yang jelas, ia dapat menarik lebih ramai individu dan ahli perniagaan untuk membantu menaik taraf sekolah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.