Bekas ketua badan pemikir lepas jawatan sebagai penasihat Maszlee

Bekas ketua badan pemikir lepas jawatan sebagai penasihat Maszlee

Seorang pegawai Kementerian Pendidikan berkata, Wan Saiful Wan Jan mahu memfokuskan tugasnya sebagai pengerusi PTPTN.

PETALING JAYA: Wan Saiful Wan Jan mengesahkan beliau meletak jawatan sebagai penasihat khas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik, kerana perlu memfokuskan tugasnya di Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Beban kerja di PTPTN semakin bertambah dan saya mahu meluangkan lebih banyak masa untuk mengurangkan jumlah hutang yang ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional.

“Sudah tentu saya akan terus membantu Dr Maszlee apabila dimintanya. Beliau ialah kawan baik dan seorang menteri bercita-cita, tetapi memegang jawatan pengerusi PTPTN bermakna saya tidak boleh melakukan kerja 9 pagi sehingga 5 petang di Kementerian Pendidikan,” katanya kepada FMT.

Wan Saiful berkata, beliau dalam proses penyerahan tugas secara beransur-ansur kepada kakitangan di pejabat Maszlee.

Terdahulu, seorang pegawai di Kementerian Pendidikan menafikan dakwaan Wan Saiful yang juga bekas ketua eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), tidak sehaluan dengan Maszlee.

“Tiada isu antara mereka berdua. Wan Saiful memerlukan masa untuk fokus tugasnya di PTPTN.”

Wan Saiful yang juga ketua PPBM Perlis, diberi tanggungjawab menyusun semula PTPTN, susulan kemenangan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Beliau menyertai PPBM awal tahun ini, tetapi tewas di Pendang, Kedah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.