Abang Jo Yang Dipertua Perkim, Dr M penasihat khas

Abang Jo Yang Dipertua Perkim, Dr M penasihat khas

Premier Sarawak menggantikan bekas perdana menteri yang memegang jawatan itu sejak 2006.

Premier Sarawak Abang Johari Openg bersama Dr Mahathir Mohamad pada Mesyuarat Agung Tahunan Perkim ke-64, di Kuala Lumpur. (Gambar Instagram)
PETALING JAYA:
Premier Sarawak Abang Johari Openg dilantik Yang Dipertua baharu Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), menggantikan Dr Mahathir Mohamad, yang memegang jawatan itu sejak 2006.

Pelantikan itu dibuat selepas Mesyuarat Agung Tahunan Perkim ke-64, hari ini, di Kuala Lumpur.

Menurut Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Mahathir yang juga bekas perdana menteri dilantik sebagai penasihat khas.

Dalam ucapan, Abang Johari merakamkan penghargaan di atas amanah diberikan dan berikrar akan memikul tanggungjawab itu sebaik mungkin.

Beliau juga menyuarakan penghargaan ke atas kepimpinan Mahathir yang membawa Perkim ke tahap membanggakan dan menjadi contoh dalam perjuangan dakwah dan kebajikan.

“Meneruskan legasi ditinggalkan bukanlah satu tugas mudah, tetapi dengan sokongan padu semua peringkat, saya yakin kita dapat memperkasakan lagi peranan Perkim dalam landskap dakwah moden,” katanya menurut laporan itu.

Mengulas cabaran didepani, Abang Johari menegaskan keperluan Perkim terus lantang dan aktif memperjuangkan perjuangan umat Islam, khususnya dalam isu global seperti konflik di Gaza.

“Pada pendapat saya, Perkim perlu terus lantang dan aktif dalam menyatakan pendirian dan membela kepentingan saudara seagama melalui pendekatan yang berkesan dan berhemah,” katanya.

Dalam konteks tempatan, beliau menekankan kepentingan pendekatan lebih inklusif dan berterusan dengan masyarakat berasaskan kasih sayang, pendidikan, dan kesedaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.