
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, berkata walaupun PN memulakan draf RUU itu ketika menerajui kerajaan pada 2021, gabungan itu menentang versi semasa kerana mengandungi beberapa ‘klausa buruk’.
Terdahulu, Nga berkata adalah wajar bagi mereka yang pernah menyokong RUU itu kini membantahnya, sambil menegaskan garis panduan pembaharuan bandar sudah wujud sejak 2012 – dan inisiatif itu tidak sepatutnya dipolitikkan.
“Kalau garis panduan sudah ada sejak 2012, kenapa partinya (DAP) tidak mendesak RUU itu dibawa ke Dewan Rakyat ketika beliau berada dalam kerajaan (Pakatan Harapan) pada 2018?” soal Wan Saiful.
“Terlalu banyak klausa buruk dalam RUU semasa, terutama melibatkan ambang persetujuan, usia bangunan, dan ketiadaan jaminan pampasan yang adil.”
Wan Saiful berkata Ahli Parlimen kerajaan juga membantah RUU itu.
RUU tersebut menerima bantahan daripada pembangkang dan sebahagian blok kerajaan, termasuk Barisan Nasional (BN) dan tujuh Ahli Parlimen PKR.
Terdahulu, Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan berkata 30 Ahli Parlimen gabungan itu mahu RUU itu ditangguh dan diteliti semula bagi memberi ruang untuk sesi libat urus bersama pihak berkepentingan.
Tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata perbincangan awal untuk merangka undang-undang khusus pembaharuan bandar bermula pada 2013 sebelum proses merangka RUU itu diumumkan pada 2015.
Dalam laporan Bernama tahun lalu, Anwar berkata bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan Zuraida Kamaruddin memulakan proses merangka RUU itu pada 2021, yang kemudiannya diteruskan oleh penggantinya Reezal Merican Naina Merican pada 2022.
RUU bertujuan menggantikan peraturan lapuk berkaitan pembangunan semula kawasan bandar yang usang itu menerima kritikan berhubung ambang persetujuan untuk pembangunan semula, menyebabkan kerajaan menaikkan kadar ambang kepada 80% tanpa mengira had umur bangunan.
Sebelum ini, RUU itu mencadangkan nilai ambang lebih rendah untuk jenis bangunan tertentu, iaitu 75% bagi bangunan berusia lebih 30 tahun dan hanya 51% bagi bangunan terbengkalai atau tidak selamat.
Perubahan itu dibuat selepas jawatankuasa Parlimen mengenai infrastruktur membangkitkan kebimbangan terhadap ambang persetujuan dalam sesi libat urus pada 21 Ogos lalu.