
Menterinya, Datuk Seri Khalid Samad mengakui pihaknya ada bertemu SKL beberapa bulan lalu untuk mendengar luahan mereka, sebaliknya tidak pernah membuat sebarang jaminan untuk mengikuti segala pandangan NGO terbabit.
“SKL menyatakan rasa kecewa susulan pewartaan dilakukan tanpa dipamerkan terlebih dahulu, maka sebab itu mereka merasakan saya tidak memenuhi janji kepada mereka.
“Perlu saya jelaskan memang mereka hadir ke Kementerian Wilayah 2, 3 bulan lalu dan meminta apa-apa pelan yang diwartakan dipamerkan terlebih dahulu supaya mereka boleh beri komen, teguran dan input.
“Saya mengatakan pada masa itu saya ambil kira permohonan mereka tetapi setakat mana, saya ingat saya tidak berjanji akan lakukan begitu kerana pewartaan ini berbeza dari biasa kerana prosesnya telah berjalan,” katanya semasa sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.
Khalid berkata demikian sebagai menjawab kritikan SKL yang mempersoalkan keputusan kerajaan Pakatan Harapan mewartakan Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020, 30 Oktober lalu tanpa membentangkannya terlebih dahulu kepada rakyat untuk ditambah baik.
Khalid menjelaskan, pihaknya tidak mampu memenuhi permintaan NGO terbabit kerana pelan tersebut berjalan dan hanya berbaki 2 tahun sahaja lagi selepas mengambil alih daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, beliau berjanji akan memenuhi permintaan NGO terbabit bagi perancangan Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2040.
“Saya mewartakan sesuatu yang sudah lalu kerana pelan ini bermula 2015 dan satu perkara yang telah berlaku untuk saya pamerkan dan minta teguran, ia adalah satu tindakan yang tidak logik sebab dah berlaku.
“Untuk 2040 dan belum buat kita akan pamerkan terlebih dahulu dan ambil input dan akhirnya kita wartakan, saya harap pihak NGO ini ambil kira hakikat apa yang diwartakan.
“Saya harap semua dapat beri kerjasama dan memahami keadaan saya dan bantu ke arah satu pelan KL yang telus, melalui pelan 2040 kita akan mula pamerkan dan komen pada tahun depan dan akan laksanakan selepas 2020,” katanya.
Ditanya mengenai terdapat salah laku dalam Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020, Khalid berkata pihaknya menyerah perkara tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) melakukan siasatan.
“SPRM bebas menyiasat ke atas mana-mana transaksi, 70 pelanggaran berlaku bermula 2015 hingga 2017 dan ia memudahkan SPRM menyiasat,” katanya.
Februari lalu kerajaan BN, melalui Menteri Wilayah Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada masa itu berkata kerajaan tidak mewartakan Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020, sebaliknya memberi jaminan akan menyediakan persekitaran lebih baik kepada warga kota.
Jaminan berkenaan dibuat selepas SKL bercadang mengheret Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ke mahkamah, jika enggan mewartakan Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020.