Nik Nazmi: Keputusan tanding jawatan presiden KLFA tiada kaitan politik

Nik Nazmi: Keputusan tanding jawatan presiden KLFA tiada kaitan politik

Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata, beliau bertanding jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur disebabkan minat terhadap sukan itu.

Nik Nazmi Nik Ahmad menafikan beliau mencabar Mohd Rashid Hasnon bagi jawatan presiden KLFA kerana masing-masing menyokong kem berbeza dalam pemilihan PKR.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad menolak dakwaan beliau mencabar Datuk Mohd Rashid Hasnon bagi jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) disebabkan perbezaan “kem” dalam PKR.

Nik Nazmi ialah calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR daripada “kem” Rafizi Ramli, sementara Rashid menyokong Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali.

Nik Nazmi berkata, keputusannya bertanding jawatan itu tiada kaitan dengan politik, sebaliknya disebabkan minatnya terhadap sukan itu.

“Bagi saya, ini adalah sebab bola sepak, saya hendak ia dihakimi atas bola semata-mata, tidak ada persaingan kem. Datuk Rashid dia tinggal di Setiawangsa, dia sahabat saya kenal dengan baik.

“Saya rasa saya boleh dinilai sebagai seorang yang ada idea, saya ada pengalaman dalam NGO, peringkat akar umbi. Jadi saya nak ‘present idea’ di peringkat KLFA,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Nik Nazmi menawarkan diri bertanding jawatan presiden KLFA hari ini, selepas Rashid berbuat demikian Isnin lalu.

“Saya mengambil keputusan ini memandangkan minat mendalam terhadap bola sepak dan keinginan memenuhi potensi KLFA menjadi FA (persatuan bola sepak) yang lebih profesional dan berintegriti.

“KLFA tidak perlu diperkenalkan lagi, terutamanya menerusi kecemerlangan pasukan bola sepak utamanya dan pembangunan bakat muda,” kata Nik Nazmi.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta ahli politik tidak mengetuai persatuan sukan tanpa kepakaran sewajarnya.

Beliau berkata, kementeriannya tidak akan melayan ahli politik menggunakan jawatan persatuan sukan untuk mendapatkan dana.

Mengulas teguran Syed Saddiq itu, Nik Nazmi merujuk pendirian menteri itu yang kerajaan tidak boleh memaksa ahli politik tidak terbabit dalam persatuan sukan.

“Saya dengar menteri sebut kementerian tidak boleh memaksa, ia adalah nasihat. Saya tidak ada dalam mana-mana GLC (syarikat berkaitan kerajaan) yang saya kuasai, yang boleh saya seleweng dan sebagainya.

“Saya tiada akses, apa saya ada adalah minat dalam bola sepak.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.