
Bercakap kepada pemberita pada persidangan Tenaga Asia 2025, Anwar mengesahkan bahawa Kementerian Ekonomi tidak akan dirombak.
“Saya ucapkan selamat berjaya kepada Rafizi yang berkhidmat dengan sangat baik sebagai menteri ekonomi.
“Saya akan putuskan pada waktunya untuk mana-mana menteri atau kementerian untuk jalankan tugas,” katanya.
Rafizi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad, menyerahkan surat peletakan jawatan masing-masing pada 28 Mei lalu.
Nik Nazmi, yang merupakan Ahli Parlimen dua penggal, gagal mempertahankan jawatannya sebagai naib presiden PKR manakala Rafizi tewas kepada Nurul Izzah Anwar bagi jawatan timbalan presiden. Anwar ialah presiden PKR.
Sebelum ini, Anwar memaklumkan bahawa beliau menerima permohonan cuti dan surat peletakan jawatan kedua-dua menteri terbabit, namun hanya meluluskan permohonan cuti mereka.
Cuti Rafizi berakhir hari ini manakala cuti Nik Nazmi pula berakhir pada 3 Julai.
Dalam satu hantaran di X Jumaat lalu, Rafizi berkongsi detik terakhir beliau di kementerian dan mengucapkan terima kasih kepada pasukan pegawai dasar atas usaha mereka melaksanakan inisiatif ekonomi.
Sementara itu, New Straits Times melaporkan bahawa Nik Nazmi enggan mengulas sama ada beliau akan menarik balik keputusan untuk meletakkan jawatan.