Anwar ‘pujuk’ Rafizi, Nik Nazmi untuk rapatkan saf PKR, kata penganalisis

Anwar ‘pujuk’ Rafizi, Nik Nazmi untuk rapatkan saf PKR, kata penganalisis

Chin Yee Mun jika Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad kekal dalam Kabinet ia tidak timbulkan rasa tak puas hati dalam parti.

rafizi ramli nik nazmi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi masa kepada Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad untuk memikirkan secara masak-masak sebelum melepaskan kedudukan jawatan dalam Jemaah Menteri.
PETALING JAYA:
Tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi masa kepada dua menteri PKR untuk memikirkan secara masak-masak sebelum melepaskan jawatan mereka dilihat sebagai salah satu usaha untuk mengelak perpecahan dalam kepimpinan parti, kata penganalisis.

Chin Yee Mun dari Universiti Tunku Abdul Rahman berkata beliau juga yakin jika Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad menyertai semula Jemaah Menteri ia tidak akan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam parti.

“Ini kerana keputusan pelantikan itu dibawah kuasa budi bicara perdana menteri.

“Tindakan perdana menteri itu wajar kerana kedua-duanya mempunyai kemampuan untuk menjawat jawatan masing-masing,” kata kepada FMT.

Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berkata sekiranya Rafizi Ramli dan Nik Nazmi kembali dalam Jemaah Menteri ia dapat rapatkan saf kepimpinan parti dan memastikan PKR terus kukuh.

Katanya, jika PKR goyang, tidak mustahil kedudukan dalam kerajaan juga tidak stabil.

“Itu cara terbaik walaupun mungkin ada yang tidak berpuas hati sebab mereka masih kekal (sebagai menteri) walau kalah pada pemilihan PKR.

“Bagi saya PKR boleh menggunakan pengaruh Saifuddin Nasution Ismail yang dilihat mampu memujuk Rafizi dan Nik Nazmi kembali dalam Jemaah Menteri sebagai individu disebalik tadbir PKR,” katanya.

Rafizi yang juga menteri ekonomi dan Nik Nazmi selaku menteri sumber asli dan kelestarian alam menghantar surat perletakan jawatan masing-masing susulan kekalahan mereka pada pemilihan parti bulan lalu.

Rafizi meletak jawatan menterinya selepas kalah kepada Nurul Izzah Anwar dalam persaingan jawatan nombor dua PKR manakala Nik Nazmi tewas dalam saingan naib presiden.

Jumaat lalu, Anwar dilaporkan berkata beliau masih memberi masa kepada Rafizi dan Nik Nazmi untuk memikirkan secara masak-masak sebelum melepaskan kedudukan mereka dalam Kabinet.

Anwar berkata jika boleh beliau mahu Rafizi dan Nik Nazmi Nik menyertai semula Jemaah Menteri.

Bagaimanapun, Rafizi dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan Jumaat merupakan hari terakhir beliau memasuki pejabat untuk menyelesaikan urusan dan mengemas, seolah-olah memberi bayangan keputusannya untuk meletak jawatan adalah muktamad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.