Miliki senjata api tiruan: Duda didenda, janda mengaku tidak bersalah

Miliki senjata api tiruan: Duda didenda, janda mengaku tidak bersalah

Juru kimpal itu didenda maksimum RM5,000 atau penjara 6 bulan selepas mengaku bersalah memiliki 4 pucuk pistol, selaras Rifle M4 dan 8 bungkus peluru 'airsoft ball bearing'.

Senjata api tiruan itu dijumpai di rumah teman wanita tertuduh yang juga janda anak 1. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sepasang kekasih hari ini didakwa di Mahkamah Majistret Ampang atas pertuduhan memiliki senjata api tiruan iaitu 4 pucuk pistol, selaras senapang jenis Rifle M4 dan 8 bungkus peluru jenis “airsoft ball bearing” di rumah milik teman wanitanya, Sabtu lepas.

Mohd Akbar Telani, 30, dijatuhi hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara 6 bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali.

Bagaimanapun, teman wanitanya, Nur Atiqah Mohd Jalal, 29, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

Mereka didakwa bersama-sama memiliki 4 pucuk pistol tiruan, sepucuk rifle tiruan dan 8 bungkus peluru jenis “airsoft ball bearing” di rumah teman wanitanya di Jalan Pandan Indah, Ampang pukul 3.55 petang pada 27 Oktober lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim mencadangkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin manakala Nur Atiqah yang tidak diwakili peguam memohon jaminan ringan dengan alasan dia merupakan janda anak seorang.

Mahkamah membenarkan Nur Atiqah diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 November ini untuk sebutan semula kes.

Lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda ringan kerana dia merupakan duda anak 2, manakala Norhashimah memohon hukuman berat mengambil kira faktor kepentingan awam kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius yang boleh menyumbangkan kepada jenayah lebih berat seperti samun dan rompak.

Mengikut fakta kes, anggota penguatkuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerima sebuah bungkusan yang dihantar oleh polis bantuan yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan mendapati bungkusan yang ingin dipos oleh Mohd Akbar adalah senjata api selepas diimbas menerusi mesin pengimbas keselamatan di lapangan terbang berkenaan.

Susulan itu, polis menahan lelaki berkenaan di rumahnya sebelum merampas senjata api yang disembunyikan di rumah teman wanitanya.

Hasil siasatan mendapati, senjata api berkenan disembunyikan di rumah Nur Atiqah dengan pengetahuannya setelah mengetahui teman lelakinya itu sedang dalam buruan polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.