
Riak wajahnya jelas kelihatan sangat gembira ketika didekati FMT untuk ditemubual mengenai hobi mengumpul piring hitam dan kini memiliki sebuah kedai muzik yang menjual barang yang jarang diperolehi itu.
Naza berkata, hobi mengumpul piring hitam adalah satu budaya pada zaman dahulu yang kekal wujud dalam dirinya sebagai seorang peminat muzik.
“Masyarakat di sini juga sudah lama menjadikan koleksi piring hitam sebagai satu hobi sama seperti orang Eropah yang menyimpannya sebagai satu koleksi sejak dahulu lagi.
Muzik piring hitam masih relevan?
Beliau berkata, masyarakat di seluruh dunia masih memilih untuk mendengar muzik dari piring hitam kerana fizikal dan kualiti bunyinya jauh lebih baik berbanding muzik digital.
Katanya, penerimaan masyarakat pada zaman sekarang adalah sangat bagus walaupun mempunyai teknologi digital seperti Youtube, Spotify dan banyak lagi.
“Piring hitam adalah sangat istimewa kerana bentuknya yang menarik perhatian dan koleksi lagu sudah tidak boleh ditemui pada zaman sekarang bagi mengimbau kenangan lama.
“Pengumpulan muzik koleksi piring hitam sudah menjadi budaya golongan tua dan juga muda yang kekal hingga ke hari ini, malahan semakin berkembang,” katanya.
Naza memberitahu piring hitam pada zaman sekarang mendapat permintaan yang sangat tinggi.
“Baru-baru ini Datuk Sheila Majid mengeluarkan 500 album piring hitam. Tidak sampai sehari, koleksi Sheila Majid habis dijual.
Harga piring hitam?
Beliau memberitahu harga sekeping piring hitam yang baharu di pasaran adalah dalam lingkungan RM150 sehingga RM170. Manakala koleksi piring hitam lama adalah mengikut kondisinya iaitu serendah RM10 sekeping.
Harga sekeping piring hitam akan menjadi sangat mahal apabila album mereka tidak lagi dikeluarkan di pasaran.
“Sebagai contoh, harga bagi piring hitam seniman P.Ramlee adalah paling mahal kerana peminat masih mencari albumnya yang tidak dikeluarkan.
“Walaupun harganya mahal dan orang kata ‘benda lama’, tetapi kepuasan yang diperoleh sangat bermakna bagi seorang pemuzik yang mementingkan kualiti bunyi.
Di mana piring hitam dijual?
Naza memberitahu terdapat 3 lokasi terkenal bagi peminat piring hitam yang perlu diketahui ramai iaitu Pasar Besar Taman Tun Dr Ismail, Amcorp Mall dan Seksyen 15, Subang Jaya.
Tips simpan piring hitam
Pertama piring hitam tersebut tidak boleh diletakkan di tempat yang panas. Kedua, jangan tindih piring hitam dengan barangan lain dan ketiga, jangan tinggal di dalam kereta pada cuaca yang panas kerana ia perlu diletakkan pada suhu bilik.