
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata pihak yang terlibat dalam perbincangan itu termasuk Pejabat Peguam Negara dan kumpulan-kumpulan hak wanita.
“Ini bukan kali pertama pertemuan itu diadakan. Kita berjumpa dengan Menteri Undang-undang Liew Vui Keong mengenai hal ini,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.
Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Mohamed Hanipa Maidin berkata Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pernah ditubuhkan bagi mengkaji peruntukan berkaitan rogol dalam perkahwinan.
Katanya, dapatan jawatankuasa itu dikemukakan ketika pembentangan Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2004 pada 12 Julai 2006.
“Jawatankuasa itu mengesyorkan peruntukan khusus iaitu jika suami mencederakan isterinya atau meletakkan isterinya atau orang lain dalam ketakutan, kematian atau kecederaan dengan tujuan mengadakan hubungan seks, dia melakukan kesalahan yang boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun.
“Pendirian ini tidak bertentangan dengan mana-mana prinsip agama. Dalam konteks ini, apa yang ditekankan adalah kecederaan yang dilakukan oleh suami ke atas isteri,” katanya.