Dr M akan ke Singapura bincang isu harga air

Dr M akan ke Singapura bincang isu harga air

Timbalan menteri luar berkata, berdasarkan Perjanjian Air 1961 dan 1962, harga air mentah yang dibekalkan Malaysia pada kadar 3 sen bagi setiap 1,000 gelen itu boleh dikaji semula selepas 25 tahun.

Marzuki Yahya berkata, Singapura tidak boleh mempertikaikan hak Malaysia mengkaji semula isu itu sejak 1986 dan 1987 kerana ia diperuntukkan dalam Perjanjian Air 1961 dan 1962. (Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad akan ke Singapura membincangkan isu harga air yang dibekalkan kepada negara itu, pada 12 November ini.

Katanya, Perjanjian Air 1961 dan 1962 jelas menyatakan hak Malaysia untuk mengkaji semula harga air selepas tamat tempoh 25 tahun dari tarikh perjanjian.

Katanya, perjanjian itu jelas menyebut Malaysia boleh berbuat demikian pada bila-bila masa selepas 1986 dan 1987.

“Saya ingin menegaskan hak Malaysia untuk mengkaji semula harga air tidak boleh dipertikaikan.

“Kerajaan kini dalam usaha memulakan semula rundingan dengan Singapura ke arah harga air yang menguntungkan kedua-dua pihak.

“Jualan air mentah pada kadar 3 sen per 1,000 gelen adalah terlalu rendah dan tidak menguntungkan negara,” katanya menjawab soalan tambahan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) di Dewan Rakyat hari ini.

Shahar ingin tahu pendirian dan usaha kerajaan untuk membincangkan semula harga air yang dibekalkan kepada Singapura.

Marzuki berkata, antara langkah awal ialah menyuarakan pendirian Malaysia berhubung hak menyemak semula harga air mentah dalam pertemuan dua hala itu.

“Saya ingin menekankan sekali lagi kerajaan sentiasa komited dalam menyuarakan hak untuk mengkaji semula harga air kepada pihak Singapura dan sedang melaksanakan penyelarasan lanjut dengan pihak-pihak berkenaan, khususnya kerajaan Johor agar isu ini dapat diselesaikan tanpa menjejaskan kepentingan negara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.