
Beliau berkata Umno masih wujud, berfungsi dan bergerak sebagai parti politik terbesar di Malaysia.
“Kenyataan sedemikian adalah tidak benar. Umno waktu ini wujud, berfungsi dan bergerak sebagai parti politik terbesar di Malaysia.
“Umno secara hakikatnya mempunyai lebih ramai ahli, lebih ramai pengundi dan lebih banyak kerusi. Kecuali beberapa ahli parlimen Umno yang meninggalkan parti, tidak berlaku gerakan besar-besar meninggalkan Umno,” katanya menerusi satu kenyataan.
Sebelum ini, Dr Mahathir pada program Bicara Minda Sinar Harian berkata, parti yang pernah dipimpinnya dahulu itu sentiasa berusaha memperjuangkan nasib rakyat supaya terbela namun kini ia sudah tersasar dari matlamatnya.
“Perjuangan Umno ialah untuk kekalkan Najib sebagai pencuri yang terbesar.
“Itu bukan Umno, Umno sudah tiada,” katanya.
Mohamad menambah, beliau mengakui Umno kini dalam keadaan lemah dan susut pengaruh, selain beberapa pemimpinnya melakukan perhitungan yang tersasar, namun mereka mengambil keputusan untuk merawat, memulih dan membangunkan semula parti itu selepas Perhimpunan Agung Umno, awal bulan lalu.
“Walaupun diakui ada beberapa pemimpin Umno sebelum ini yang melakukan perhitungan yang tersasar, janganlah kita menghukum jutaan orang Melayu yang bernaung di bawah Umno.
“Mereka adalah ahli biasa, yang tinggal di seluruh pelusuk tanah air dan tidak melakukan apa jua kesalahan.”